Ipoh- Maju Perak Utilities Management Sdn. Bhd. (MUMSB) mengakui berhadapan isu kekurangan pekerja susulan daripada pembukaan sektor ekonomi lain yang menawarkan pakej gaji dan faedah yang lebih menarik.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kenyataan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 10 Mei 2022 berhubung situasi sebenar operasi kutipan sisa pepejal domestik.

"Walaupun begitu, isu kekurangan pekerja ini bukan sahaja dialami oleh syarikat kami, isu ini dialami oleh semua kontraktor di dalam sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

"Susulan itu, pihak MUMSB telah menyediakan pasukan-pasukan ‘backup’ daripada kawasan lain dan telah berjaya menyelesaikan 90% isu-isu kutipan sampah tertunggak atau ‘backlog’ setakat jam 12.00 pm pada tarikh 11 Mei 2022.

"Jumlah kenderaan yang disediakan sepanjang ‘backup’ adalah sebanyak 19 buah lori sampah dan melibatkan 102 orang pekerja.

"Pihak MUMSB juga akan menyediakan pasukan peronda tambahan pada 12 Mei 2022, bagi tujuan menyelesaikan aduan / kawasan yang tertinggal (sekiranya ada). Untuk ini, MUMSB menyediakan sebanyak 5 lori tambahan dan melibatkan 29 orang pekerja", katanya.

Pihak MUMSB menjangkakan pada hari Jumaat, 13 Mei 2022, tiada lagi isu kutipan sampah tertunggak atau ‘backlog’. Dengan ini, operasi kutipan sampah domestik MUMSB akan kembali normal dan mengikut jadual seperti yang ditetapkan.

"Sehubungan dengan itu, kawasan operasi sebenar adalah hanya melibatkan Zon Manjoi dan sebahagian Zon Meru sahaja. Pihak MUMSB tidak teroibat dalam kutipan di kawasan lain terutama di kawasan Bandar Meru Raya, Klebang, Chemor dan sebagainya", katanya.

Ends//