MANJUNG - Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Manjung telah menyantuni satu keluarga susulan berita mengenai kesusahan mereka disiarkan sebuah portal berita baru-baru ini.

Bahagian Perhubungan Korporat MAIPk dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menziarahi ibu tunggal, Hamidah Khalid, 30an yang kini menjadi ketua keluarga pada dua orang anak berusia sembilan dan 14 tahun.

Menurut kenyataan itu, Hamidah sebelum ini menyewa rumah di Taman Cempaka, Sitiawan tetapi terpaksa keluar rumah disebabkan sewa tertunggak semasa Perintah Kawalan Pergerakan lalu.

Disebabkan itu dia menjadikan sebuah bangunan sarang burung walit di Kampung Cina, Sitiawan sebagai tempat berteduh.

"Pada kunjungan tersebut, pihak MAIPk Manjung telah menyalurkan bantuan persekolahan RM400 kepada dua orang anak berserta bantuan kewangan bulanan berjumlah RM500.

"Turut diberikan ialah bantuan tambahan berupa bantuan sewa rumah untuk membantu meringankan beban keluarga itu menerima kehidupan lebih baik," ujar kenyataan itu.

Ketika kunjungan, MAIPk Manjung menyalurkan sumbangan wang berjumlah RM500 berserta kelengkapan asas dapur.

Proses pemindahan dia dan anak-anak sedang dikenal pasti dengan kerjasama penghulu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat
ke sebuah rumah sewa lebih selesa di sekitar Sitiawan dan berhampiran dengan sekolah anak-anaknya.

Hamidah sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum mengambil keputusan berhenti kerana tiada pengasuh mampu menjaga anaknya yang kian membesar.

Kini, dia bekerja sebagai pengutip sayur di sebuah ladang dengan upah RM30 sehari di samping melakukan kerja sambilan dengan mengutip besi-besi buruk untuk dijual.

Dengan bantuan disalurkan MAIPk ia mampu memberi sinar dan kebahagiaan baru kepada mereka menjalani kehidupan penuh cabaran khususnya buat Hamidah menggalas tanggungjawab berat sebagai ketua keluarga.