IPOH - Seorang pendaki gunung meninggal dunia di puncak Banjaran Titiwangsa berhampiran Kem Kuali dipercayai kepenatan semasa menyertai ekspedisi mendaki gunung itu.

Pihak polis menerima laporan kejadian daripada rakan-rakan pendaki yang turun ke kaki gunung bagi melaporkan insiden tersebut di Balai Polis Tanjung Rambutan semalam.

Difahamkan mangsa meninggal dunia sekitar pukul 5 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa berketurunan Cina berusia 66 tahun menyertai ekspedisi itu bersama 10 pendaki termasuk tiga wanita.

Menurut beliau, lokasi kejadian mengambil masa lapan jam pendakian dari kaki Gunung Korbu berdekatan Loji Rawatan Air Ulu Kinta di sini.

"Semasa kejadian kumpulan pendaki yang memiliki kebenaran memasuki hutan simpan kekal ini telah menjalankan aktiviti mendaki hingga ke puncak Banjaran Titiwangsa
berhampiran Kem Kuali.

"Namun, salah sorang ahli kumpulan lelaki berumur 66 tahun dari Kuala Lumpur mengalami kepenatan lalu meninggal dunia.

"Disebabkan tiada liputan komunikasi di kawasan hutan maka ahli kumpulan tersebut mengambil keputusan turun ke kaki gunung bagi melaporkan kejadian kepada polis," ujarnya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, polis Perak telah menyelaraskan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri untuk menjalankan operasi menurunkan mayat mangsa dari tempat kejadian.

Dengan mengambil kira faktor geografi dan cuaca yang mencabar, pihak JBPM negeri akan mendapatkan bantuan helikopter untuk mengeluarkan mangsa hari ini.