IPOH - Setiap kali hujan lebat perasaan bimbang akan segera muncul pada penduduk Taman Sri Perkasa di sini ekoran kejadian runtuhan sebahagian jalan dan tembok konkrit di Laluan Lapangan 8 Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, sebahagian tembok konkrit berkenaan runtuh setelah hujan lebat selama tiga jam.

Sehingga kini kerosakan tersebut masih belum dibaiki walaupun pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan.

Walaupun pihak berkuasa memberi jaminan keselamatan tetapi dia khuatir sekiranya berlaku kejadian tidak diingini pada bila-bila masa.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Tan berkata, sejak kejadian itu penduduk mula merasa bimbang setiap kali mendengar bunyi guruh.

"Sebelum ini setiap kali hujan lebat pasti ada masalah, malah penduduk telah beberapa kali mengadu pada pihak berkuasa tetapi tiada sebarang tindakan.

"Kawasan runtuhan pula cuma beberapa meter dari rumah penduduk, sebab itu kita mahu masalah ini diatasi segera," ujarnya.

Laluan di situ juga digunakan sebagai jalan pintas penduduk taman-taman lain untuk ke Rapat Setia dan Station 18.

Sementara itu, penyelaras Parlimen MCA Bahagian Gopeng, Cally Ting semasa meninjau lokasi kejadian berharap agar tindakan segera diambil.

Menurut beliau, susulan kejadian tersebut pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah pun melakukan pemeriksaan selain pihak kontraktor yang terlibat.

"Pihak MBI dan akan terus memantau keadaan di kawasan ini supaya tindakan segera akan diambil bagi menjamin keselamatan para penduduk dan pengguna jalan raya," ujarnya.