GERIK - Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandu terbabas lalu terbalik dalam kejadian di Kilometer 24 Bukit Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik pagi tadi

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.38 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori 20 tan membawa muatan tepung yang terbalik ke bahu jalan menyebabkan dua mangsa tersepit .

"Pemandu berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kelindan lori mengalami kecederaan," ujar jurucakap itu.

Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan bantuan bekalan tenaga sehingga mangsa
dikeluarkan.

Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak petugas kesihatan dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd. Ridzwan Abdul Rahman itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.55 pagi.