IPOH- Bandaraya Ipoh hari ini dibanjiri lebih 80 buah motosikal berkuasa tinggi sempena program Ipoh Joy Ride anjuran bersama Bond Holdings Sdn. Bhd., Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad.

Pengurus Penganjur Ipoh Joy Ride, Adnan Zulkifli berkata objektif utama program itu, adalah mempromosikan gaya hidup eksklusif dan juga pameran kenderaan eksklusif jenama Harley-Davidson, Volkswagen dan juga Vespa.

“Menerusi program ini juga dapat mempromosikan tempat-tempat tarikan pelancongan bersejarah di Bandaraya Ipoh sebagai salah satu destinasi pilihan pelancong dan sekaligus merancakkan lagi ekonomi pelancongan negeri Perak.

“Program ini berjaya mengumpulkan beberapa kumpulan pemilik kenderaan Harley-Davidson di sekitar negeri Perak yang berbilang bangsa. Program julung kali ini, ternyata dapat memupuk tolenrasi dan semangat muhibbah.

“Disamping itu, kita dapat memperkenalkan Ipoh International Convention Centre (IICC) dan Bond Suites. Ia direka berkonsep terbuka untuk menggambarkan gaya hidup moden dengan pemandangan bukit batu kapur yang mempersonakan disamping kedudukan ditengah-tengah nadi bandaraya Ipoh”, katanya sewaktu ditemubual di perkarangan lobi Ipoh International Convention Centre (IICC), di sini hari ini.

Peserta konvoi bermotosikal ini dilepaskan dari IICC oleh ADUN Dato' Mohammad Zahir Dato' Abdul Khalid diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings Sdn Bhd., Ong Teng Boon dan Ahli Majlis MBI, Clr. Dato’ Ahmad Hariri Kamarudin.

Antara destinasi pelancongan yang menjadi persinggahan para peserta konvoi ini ilah di Concubine Lane, Bangunan Heritage Stesen Kereta Api Ipoh, Pusat Rekreasi Gunung Lang dan berakhir di Ipoh International Convention Centre (IICC).