Perak MATTA Fair terima sambutan luar biasa
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 680
Ipoh- Penantian orang ramai untuk kembali melancong selepas lebih dua tahun terhenti kerana pandemik Covid-19 kini terbuka luas dengan tawaran pakej melancong yang menarik.
Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Perak Chong Yu Ken berkata pengajuran Perak MATTA Fair selama dua hari bermula 21 dan 22 Mei 2022 di Ipoh International Convention Centre (IICC) memperlihatkan sambutan luar jangkaan dari orang ramai.
“Ketika wabak Covid-19 melanda, semua bentuk pameran terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun selepas Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan memulakan program gelembung pengembaraan pada September tahun lepas, ia merupakan isyarat untuk aktiviti pelancongan dihidupkan semula.
“Sorotan dari itu, Perak MATTA memutuskan untuk mengadakan pameran selama dua hari memandangkan pameran terakhir yang dianjurkan ialah pada September 2019.
“Oleh yang demikian, penganjuran semula Perak MATTA Fair ini membuka peluang orang ramai mendapatkan pelbagai pakej tawaran hebat dan cabutan bertuah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, lebih 30 peserta pelancongan mengambil bahagian dan 70 gerai disediakan di pameran MATTA ke-29 itu.
Pameran itu turut disertai oleh MATTA Kedah/Perlis, Tourism Malaysia Wilayah Utara, Tourism Perak dan Tourism Melaka bersama pemain industri dari luar negeri.
“Terdapat banyak pilihan destinasi pelancongan yang merangkumi perlbagai budaya, warisan, alam semula jadi dan hidupan liar.
“Royal Caribbean menjadi penaja utama pameran ini dan membuka peluang kepada pengunjung mengikuti pakej pelayaran yang ditawarkan. Menerusi pameran ini, kami juga mensasarkan 15,000 pengunjung dan berharap dapat memperoleh lebih RM30 juta dalam perolehan jualan.
“Walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilonggarkan, para pengunjung pameran hanya dibenarkan kepada mereka yang lengkap vaksinasi bersama topeng muka dan kanak-kanak kecil tidak digalakkan untuk menghadiri pameran ini,” katanya.
Mereka yang mempunyai pembelian minimum RM300 layak menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah menarik seperti tiket penerbangan pergi balik, baucar pelayaran, pakej percutian, baucar penginapan hotel, hadiah perjalanan dan tiket masuk ke taman tema.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Royal Caribbean Cruise Asia Pasifik, Valerie Tan berkata Royal Caribbean merupakan kapal terbesar dan paling inovatif di Asia - Spectrum of the Seas.
”Maklumat lanjut mengenai pelayaran Royal Caribbean ke Thailand, Singapura dan Vietnam yang bermula pada Oktober, berharga serendah RM909 ini bolehlah melawati halaman Facebook MATTA Fair di www.facebook.com/MattaPerak/.