IPOH- Sebagai menghargai karya seni khususnya anak kelahiran negeri Perak, sekali lagi pihak People Of Remarkable Talents (PORT) melancarkan penerbitan buku Direktori Kreatif Negeri Perak.

Menurut penulisnya, Dr. Nicole Chang, 46, berkata objektif penerbitan ini adalah untuk mengatursusun dan mendokumentasikan profil artis-artis seni visual dan artisan yang dilahirkan di negeri Perak ataupun yang menetap di Perak selama sekurang-kurangnya sepuluh tahun.

Buku Direktori Kreatif Negeri Perak disampaikan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, memuatkan maklumat mengenai 80 orang seniman visual dan artisan dari berbilang bangsa iaitu Melayu(39,48%), India (3.4%) dan Orang Asli (3.4%).

“Menerusi penerbitan ini, sebanyak tujuh bidang seni kreatif yang berbeza telah dimuatkan diantaranya seni lukisan, seni fotografi, kraf artisan dan seni jalanan. 

“Selain itu, naskah ini memuatkan juga temubual khas bersama tokoh seniman visual veteran yang menjadi dokumentasi penting di dalam penerbitan ini iaitu Yeoh Jin Leng yang berusia 92 tahun. Beliau telah banyak menyumbang kepada dunia pendidikan seni tanah air dan merupakan anak kelahiran Ipoh”, katanya sewaktu ditemubual selepas acara pelancaran naskah tersebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohamed Radzi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PORT.

Nicole Chang, terlibat secara aktif dalam penyelidikan akademik dan penulisan sejak tahun 2003. Beliau kini merupakan seorang perunding bebas yang mengusahakan projek-projek penulisan dan penyelidikan.

Anak kelahiran Perak ini menetap di Pulau Pinang, juga merupakan penyelidik tentang potensi sektor seni visual dan mengkaji peranan dan sumbangan seni visual dalam domain awam ke arah pembinaan sebuah bandar kreatif.

Pada masa yang sama, Nolee Ashilin juga telah merasmikan Pameran ACS BIENNALE yang bertemakan “Peace, Love and Dream” anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh dengan kerjasama PORT bermula pada 14 Mei sehingga 22 Mei 2022 di Black House @PORT Ipoh.

Pameran ini telah melibatkan lebih 27 orang pelajar daripada pelajar tingkatan 6 atas STPM 2022 dan pelajar tingkatan 6 rendah STPM 2023.

Menurut Nolee Ashilin, sebanyak 27 karya lukisan dihasilkan oleh para pelajar menggunakan pelbagai media yang sebahagian besarnya menampilkan unsur-unsur budaya, warisan tempatan pelbagai kaum di Malaysia.

“Pameran ini merupakan projek terakhir pelajar-pelajar SMK Methodist (ACS) Ipoh sebagai penghargaan ke atas hasil usaha pelajar, selain mempromosikan subjek visual seni tingkatan 6 kepada para ibu bapa.

“Sejajar dengan perancangan kerajaan negeri untuk memajukan negeri Perak, sektor pelancongan telah dijadikan sebagai komponen penting yang dapat memacu ekonomi dan menyumbang semula kepada masyarakat tempatan.

“Sokongan serta usaha pelbagai pihak berkaitan seni dan kreativiti, para seniman dalam bidang seni visual, muzik persembahan pentas dan seumpamanya, kita dapat menjana suasana seni budaya yang lebih padu, segar dan progresif  yang mampu menjadikan Perak sebagai pusat tumpuan ramai” ujarnya.

Hadir sama Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin - PERAKTASTIC.