IPOH - Bandaraya Ipoh kini berada pada landasan untuk menjadi bandar yang menyediakan internet berkelajuan tinggi pada penduduknya apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan XOX Berhad dan Frontier Resources Sdn Bhd (Frontier).

MoU tersebut dimeterai antara kesemua pihak pada Majlis Riang Ria Aidilfitri Bersama Media di M Roof Hotel malam tadi.

XOX adalah sebuah syarikat telekomunikasi tersenarai dalam bursa saham Malaysia dan dianggap antara korporat cukup berjaya.

MoU dimeterai antara Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin; Pengerusi XOX Berhad, Dato' Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan
Pengerusi Frontier, Mohammad Bashir.

Menerusi perjanjian ini, pihak Frontier akan membuka dua kiosk di Wisma MBI dan UTC Ipoh diikuti beberapa lagi lokasi bagi meluaskan lagi perkhidmatannya.

XOX Berhad ketika ini juga merupakan satu-satunya penyedia telekomunikasi (telco) mudah alih yang menawarkan tempoh penggunaan penggunaan talian selama 28 bulan.

Menurut Abdul Azim, ini juga selari dengan matlamatnya bagi menyediakan perkhidmatan telco mampu milik pada semua peringkat golongan rakyat.

"Kita yakin rakyat akan mendapat manfaat menerusi perkhidmatan yang disediakan ini.

"Bersama-sama dengan rakan niaga lain, kerjasama ini merupakan langkah pertama dalam matlamat kita menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar yang progresif," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad pula berkeyakinan bahawa kolaborasi dengan MBI bakal membolehkan pihaknya menawarkan perkhidmatan telco mampu milik pada lebih ramai rakyat khususnya kelompok B40.