IPOH: Jika sebelum ini Hari Tanpa Kereta (CFD) Ipoh dibuat pada waktu pagi, kini buat pertama kalinya ia dianjurkan di sebelah malam bermula hari ini.

Inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan Ipoh Car Free Nite ini tentu sahaja bertepatan dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) negara, yang kini sudah memasuki fasa endemik.

Tinjauan Peraktastic di lokasi penganjuran iaitu di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini mendapati orang ramai mula hadir seawal jam 8 malam.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata program berkenaan diadakan bersempena Hari Bandaraya Ipoh ke-34.

Ujarnya, Ipoh Car Free Nite ini juga antara langkah menjadikan bandar raya ini sebagai sebuah bandar rendah karbon.

"Kalau kita lihat perbezaan di antara pagi dan malam (anjur program berkenaan) contohnya udara di antara dua waktu ini. Kalau belah malam kita boleh lihat penggunaan solar.

"Kalau nak pastikan lampu solar ini baik atau tidak, kita boleh lihat pada waktu malam. Tenaga solar antara perkara yang kita gunakan untuk pertimbangkan sesuatu, sama ada kawasan itu rendah karbon atau sebaliknya.

"Penganjuran program ini juga untuk meningkatkan Indeks Kebahagian di kalangan warga kota dengan memupuk kesedaran mengenai alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Ipoh Car Free Nite@ Hari Tanpa Kereta Bulan Mei 2022, di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada program ini akan dianjurkan pada bulan-bulan seterusnya, Rumaizi berkata pihaknya optimis untuk menganjurkannya berselang seli dengan Ipoh Car Free Day.

"Kalau boleh selang seli (program) ada Ipoh Car Free Day, ada Ipoh Car Free Nite. Jadi masyarakat tahu bagaimana untuk jaga alam sekitar, pada waktu siang dan malam.

"Buat masa ini kita akan kekalkan program ini sebulan sekali, bergantung kepada sambutan kalau baik kita akan anjur dua minggu sekali," katanya lagi.

Terdahulu, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini ditutup selama empat jam bagi memberi laluan kepada program tersebut, ia bermula pada jam 7.30 sehingga 11 malam.

Pelbagai gerai jualan dan pameran disediakan khusus buat orang ramai, termasuk beberapa acara lain di Dataran Bandaraya Ipoh iaitu acara Family Picnic Night, persembahan busker dan tarian tradisional.

Antara acara yang disediakan seperti sewaan basikal, senam robik, kempen kesedaran tentang strok, Kelab Speda Klasik Kinta, pameran produk biodigrediasi, pemeriksaan pergigian serta pameran Geopark Lembah Kinta.