IPOH: Kerja-kerja pembinaan palang atau pagar bagi keselamatan pengunjung di kawasan Kinta Riverwalk di sini akan selesai sepenuhnya pada Julai depan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya kini sudah memberi fokus kepada aspek pencahayaan dan melantik kontraktor bagi pemasangan palang di kawasan berkenaan.

Ia berikutan insiden seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai di Amusement Park, Kinta Riverwalk baru-baru ini.

"Sekarang ini dalam kajian kejuruteraan kita (MBI). Yang pertama kita sudah luluskan RM200,000 untuk meningkatkan pencahayaan.

"Saya harap dalam masa terdekat kita boleh lantik kontraktor, keduanya bahagian kejuruteraan MBI sedang buat satu kertas sebut harga untuk lantik kontraktor.

"Kalau lampu rasanya sudah siap, palang rasanya inshaAllah dalam masa sebulan kita boleh lantik kontraktor. Siap sepenuhnya dalam bulan Julai (pasang palang)," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Ipoh Car Free Nite@ Hari Tanpa Kereta Bulan Mei 2022, di sini pada Sabtu.

Rumaizi berkata aktiviti perniagaan di kawasan terbabit masih berjalan seperti biasa, bagaimanapun katanya sebarang program yang berkaitan di Amusement Park dihentikan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, beliau berkata insiden yang berlaku baru-baru ini merupakan salah satu cabaran bagi MBI dan juga pengusaha yang dilantik.

Ketika ditanya sama ada insiden itu memberi tamparan hebat atau menjejaskan reputasi kawasan tumpuan pelancong berkenaan, beliau berpendapat ia menjadi salah satu pengalaman serta pengajaran.

"Ia cabaran sebab saya kata kita masih baru nak terlibat secara agresif dalam bidang ini. Biasalah bila sesuatu nak bermula, pasti ada cabaran.

"Bagi saya kita tidak boleh menyerah kalah, kita akan cuba perbaiki dengan lebih baik di masa hadapan," katanya mengulas lanjut.

Sebelum ini media melaporkan, MBI mengeluarkan arahan penutupan sementara operasi permainan bermotor di Amusement Park, Kinta Riverwalk di sini bagi menjalankan siasatan susulan insiden seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai.

Rumaizi dipetik berkata siasatan sedang dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kanak-kanak itu yang berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas ibu bapanya dan bantuan orang ramai.

Beliau berkata MBI melantik syarikat berkaitan bagi menjalankan aktiviti permainan kanak-kanak di Kinta Riverwalk itu mulai 1 Januari tahun ini dengan menetapkan garis panduan keselamatan untuk beroperasi.