IPOH- Sahabat Alam Malaysia (SAM) menentang sekeras-kerasnya pembangunkan projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di mukim Kenering di Hulu Perak.

Malahan, Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata akan mengadakan satu perjumpaan bersama NGO-NGO bagi membuat satu bantahan bertulis kepada Menteri Besar dan Sultan Perak berhubung ‘projek perintis’ di mana Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) telah diluluskan.

"SAM terkejut apabila mengetahui laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek NR-REE di Hulu Perak telah diluluskan minggu lepas, walaupun sebelum ini menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) bahawa laporan EIA telah telah ditolak. Projek itu merupakan antara yang terbesar di negara ini yang melibatkan 2161 hektar.

“Menyentuh laporan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad baru-baru ini, hasil mineral dari projek printis ini, akan menjadi satu lagi sumber negeri dan ia akan menentukan sama ada kewujudan radioaktiviti berbahaya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Kenyataan MB Perak itu amat mengelirukan kerana sebelum ini EIA sudah menunjukkan kehadiran torium dalam sampel tanah yang diuji.

“Menerusi laporan ujian sampel tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertainian Negeri Perak (PPPNP) / petak tanah PT1764 mendapati jumlah Torium (Th-228) radioaktif semula jadi melebihi 1 Bq/gl. Oleh itu, sebarang pembebasan bahan tindak balas yang tidak terkawal contohnya asid sulfurik sewaktu penyediaan dan operasi boleh membawa akibat kesan yang tidak baik kepada alam sekitar dan hidupan.

“Projek ini akan menggunakan Ammonium Sulphate sebagai bahan kimia utama. Hasil pemodelan air bawah tanah telah pun menunjukkan risiko tinggi pencemaran ammonium dan sulfat dalam Telaga 2 dan 3 yang digunakan oleh ladang PPPNP dan FELCRA dalam kawasan cadangan perlombongan. Secara langsung akan menjejaskan masyarakat setempat menerusi sumber bekalan air minuman”, katanya kepada Peraktastic sewaktu dihubungi, hari ini.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terjadinya pencemaran sungai sebagai sumber penting masyarakat tempatan berhampiran Kg. Pong dan Kampung Orang Asli Bukit Asu.

“Projek itu terletak di hulu Sungai Sg. Rui, anak sungai Sg Perak. Oleh itu, sebarang kemerosotan air permukaan atau air bawah tanah akibat daripada cadangan perlombongan boleh menjejaskan keseluruhan atau sebahagian besar kawasan tadahan air dan ekosistemnya.

“Saya ingin mempersolakan, bagaimanakah projek perlombongan sedemikian dibenarkan di kawasan yang sensitif terhadap alam sekitar. Ini kerana, ia berada dalam julat Central Forest Spine (CFS) yang diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Peringkat 1 (ESA).

“Untuk mengelakkan gangguan dan kerosakan yang ketara kepada alam sekitar, hanya aktiviti terkawal seperti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, aktiviti tujuan penyelidikan dan pendidikan dibenarkan dalam ESA Peringkat 1. Projek perlombongan yang bakal dilaksanakan tidak boleh dianggap sebagai aktiviti berimpak rendah”,ujarnya.

Sorotan dari itu, pada bulan Ogos tahun lepas, SAM telah menyerahkan ulasan serta laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai penentangan perlaksanaan projek berkenaa.

Katanya lagi, tindakan meluluskan projek dalam ekosistem di kedudukan 1 ESA sesuatu yang keterlaluan dan melanggar dasar perancangan kerajaan persekutuan serta tidak boleh dilihat sebagai aktiviti yang mampan.

“Aktiviti perlombongan itu berisiko tinggi kerana membolehkan peningkatan kepekatan ammonium dan torium yang merupakan bahan radioaktif sedia ada.

“MB Perak dan JAS semestinya menjelaskan bagaimana EIA telah diluluskan walaupun telah menjadi isu berbangki tanpa mengambil kira pandangan dan bantahan orang ramai termasuk SAM sendiri”, ujarnya. -Peraktastic-