IPOH- Program Perak SADC Agrofest 2022, ternyata berjaya mempromosikan The Treasure@Taman Herba Gopeng sebagai salah satu produk agro-pelancongan baharu di negeri Perak.

Program anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dengan kerjasama The Treasure@Taman Herba Gopeng itu, berlangsung dari 28 Mei 2022 hingga 31 Mei 2022.  

Pelbagai acara menarik dilangsungkan antaranya  herba tour, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), berkayak, berbasikal, petting zoo, laman akuaponik dan banyak lagi.

Pada malam pembukaan, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa berkenan berangkat ke menyaksikan persembahan Malam Sinaran Jazz The Treasure @ Taman Herba.

Persembahan eksklusif selama satu jam lebih itu, menampilkan persembahan penghibur tersohor tanahair iaitu Datuk Zainal Abidin, Atilia Haron dan New Village Music Lab.

Zainal Abidin melantunkan lima buah lagu termasuk lagu keramatnya ‘Hijau’ yang ternyata memukau perhatian lebih lebih 300 orang pengunjung.

Hadir sama, YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, Dato’ Ab. Wahab  Dato’ Seri Azizul Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya.

The Treasure@Taman Herba Gopeng milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) telah melalui proses pembangunan dan baik pulih serta penjenamaan baharu sejak November 2021 kini bersedia menerima kunjungan pelancongan dari dalam dan luar negara.

The Treasure@Taman Herba Gopeng di bawah pengurusan dan dana (Proven Optimisation Innovative Solutions (POIS) itu mengetengahkan tiga teras utama iaitu pendidikan, pembangunan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar. -Peraktastic-.