LUMUT - Seramai 110 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim turun padang pada Program Khidmat Masyarakat UPSI di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dekat Segari Sabtu lalu.

Kesemua mereka merupakan siswa-siswi dari Kolej Za'ba UPSI berkolaborasi bersama anggota Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Perikanan negeri.

Bahagian Kemasyarakatan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial MPM memaklumkan, program berkenaan dipuji kerana menunjukkan keprihatinan warga kampus pada penjagaan alam sekitar.

Menurut kenyataan itu, para peserta telah melakukan aktiviti membersih persisiran pantai, menanam pokok persisir pantai dan membersih kawasan kompleks dan kolam penyu.

"Para peserta berpeluang melepaskan anak-anak penyu yang telah cukup matang umurnya ke laut lepas.

"Pihak Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar zon 3 menyediakan tong dan plastik sampah," ujar kenyataan tersebut.

Sebanyak 45 anak pokok jenis merambong disumbangkan Unit Landskap MPM menyumbang untuk ditanam di persisiran pantai.

Objektif program UPSI ini adalah bagi mempromosikan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi memupuk semangat kesukarelawanan pada generasi muda.

Inisiatif untuk menjaga keindahan pantai alam semulajadi ini juga sebagai tanggungjawab untuk diserahkan kepada generasi akan datang.