IPOH - Seramai 21 pegawai dan 261 anggota sukarela terbabit pada Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Askar Wataniah (AW) ke-64 yang diadakan di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan) di sini pada Jumaat lalu.

Kesemua mereka yang terdiri daripada anggota Rejimen Siri 500 AW, Kor TD AW dan Rejimen Pakar AW dari seluruh negara.

Puswatan dipilih menjadi lokasi perbarisan bagi meraikan sambutan ulangtahun pasukan kali ini.

Pemangku Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Brig Jen Padman K.P Bhaskaran hadir menyempurnakan majlis perbarisan tersebut.

Perbarisan kali ini melibatkan enam detasmen diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen 509 AW, Lt Kol Khairuddin Ishak.

Dalam ucapannya, Padman menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain di atas keprihatinan beliau kepada AW.

Zamrose sebelum ini telah melancarkan Pelan Strategik Hala Tuju AW 2022-2030 sejajar dengan pelan Army 4NextG serta rancangan tindakan Perintah Ulung PTD Ke-28.

Selain itu, beliau turut menggalakkan penglibatan anggota masyarakat khususnya belia dan beliawanis dalam pasukan AW.