IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mula mengoperasikan dua buah lori sampah compactor bernilai baharu dalam inisiatif meningkatkan lagi operasi kutipan sampah.

Setiap buah kenderaan tersebut yang bernilai RM443,000.00 seunit melibatkan peruntukan kos keseluruhan berjumlah RM886,000.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, penggunaan kenderaan yang baharu ini akan membantu mengatasi isu sampah di sekitar Bandaraya Ipoh.

Menurut beliau, kenderaan yang menggunakan kerangka buatan Hino ini berkapasiti 19 tan dengan muatan.

"Bahagian badan' compactor adalah buatan Turki, daripada syarikat Orakci Makina Machinery Industry, Model ORV 316, Operated Rear Vehicle (Hydraulic Pressed Garbage Compactor).

"Jumlah isipadu lori berkenaan adalah 16 cubic meter dan mampu menampung kapasiti sampah sehingga 10 tan per trip bergantung pada kemahiran dan waktu kerja," ujarnya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan dua unit lori sampah compactor pagi tadi.

Setiap kenderaan dilengkapi sistem penjejak kedudukan global (GPS) yang mana pihak MBI boleh memantau pergerakan dari mula sehingga akhir kerja.

Sistem ini juga boleh merekodkan perjalanan yang dilakukan oleh pemandu serta merekodkan jumlah minyak yang digunakan.

Jelas Rumaizi lagi, pelbagai ciri-ciri keselamatan yang digunakan pada sistem ini mematuhi DIN EN 1501 Refuse collection vehicles (General requirements and Safety Requirements).

Katanya, pematuhan mengikut piawaian Eropah ini membantu dari segi keselamatan pengendalian kepada operator dan juga orang awam.

"Antara ciri-ciri keselamatan kenderaan ini adalah butang kecemasan, penggera keselamatan, monitor dan kamera pandang belakang.

"Ia juga dilengkapi pengehad kelajuan operasi, pagar keselamatan awam. Antara sistem lain adalah dwi-sistem hidraulik dimana sistem tersebut boleh dikendali secara automatik dan manual.

"Sistem 'auto-compactor' ini juga membantu dari segi menyingkatkan masa operasi kutipan sampah," ujar beliau.

Menurut Datuk Bandar lagi, fungsi kawalan juga tersedia bagi membolehkan operator membuat pembuangan sampah dari dalam lori tersebut.

"Kenderaan ini telah diperkukuhkan dari segi ketahanan terhadap asid sampah dan keluli tahan haus (Wear Resistant Steel) iaitu Hardox 450.

"Keluli tersebut membantu untuk memanjangkan jangka hayat lori ini dengan penjagaan yang betul," jelasnya.