IPOH: Theta Edge Berhad telah menyumbangkan sebanyak 30 unit komputer di enam pusat komuniti di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan untuk menyediakan kemudahan teknologi kepada golongan sasaran.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata sumbangan berkenaan dapat merapatkan jurang digital dalam kalangan warga kota.

"Program ini merupakan kerjasama MBI dan anak syarikat Tabung Haji, Theta Edge Berhad.

"Setiap pusat komuniti akan dapat enam unit komputer, kali ini kita bercakap tentang Greater Ipoh.

"Jadi kita panjangkan juga kepada wilayah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Batu Gajah, bukan Ipoh sahaja malah diperluas sedikit,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Daripada Theta Edge Berhad Dengan Kerjasama MBI, Kepada Pusat Komuniti, di Dewan Azlan Shah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge Berhad, Nuraina Zainal Abidin, Pengarah Negeri Tabung Haji Perak, Mohamad Abas dan Ahli-Ahli Majlis MBI.

Rumaizi menambah sumbangan itu semestinya memberikan kelegaan kepada beberapa kawasan yang tidak memiliki kemudahan itu.

Selain itu katanya, kesemua pusat komuniti itu juga akan disediakan kemudahan Wi-Fi percuma, di bawah seliaan MBI.

"Sebelum ini pun memang ada MBI sediakan Wi-Fi percuma di 22 kawasan, jadi kita akan luaskan di lokasi lain pula," katanya lagi.

Sementara itu, Nuraslina menjelaskan pihaknya memberi peluang kepada para pelajar dan golongan muda, khususnya daripada B40 untuk menimba ilmu seiring dengan perubahan pendigitalan.

Ujarnya, inisiatif itu merangkumi pemasangan Microsoft Windows 10, LibreOffice, webcam serta penyediaan Wi-Fi adapter di setiap pusat komuniti.

"Di Perak kita sudah serahkan 157 komputer, 100 melalui kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji Perak dan disumbangkan kepada 39 buah sekolah.

"Tadi kita ada buat penyerahan di Kem Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, kita juga rancang untuk lihat usaha lain yang boleh dilaksanakan dengan rakan sinergi seperti MBI khusus untuk manfaat komuniti," katanya lagi.

Pusat komuniti yang menerima sumbangan berkenaan hari ini ialah Dewan Komuniti Kampung Seri Desa, Pusat Komuniti Lahat, Perpustakaan Desa Taman Jaya Klebang Jaya, Dewan Dato' Ahmad Said Sungai Rokam, Dewan Masjid Ittihadiah Kampung Tengku Hussein dan Kinta Heights (Pusat Belia).

Untuk maklumkan, progam #thetaCares dilancarkan pada Mac lalu dan telah diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Ia telah mencapai rekod 305 komputer dan 102 komputer riba yang disumbangkan kepada beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Melaka dan Perak.