IPOH: Pembelian empat buah lori sampah compactor baharu dijangka mampu menyelesaikan lebih 97 peratus masalah kutipan sampah di Ipoh, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Rumaizi berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menambah empat buah lori sampah compactor, dua telah beroperasi manakala dua lagi akan diterima tidak lama lagi.

"Sekarang ini ia berjalan lancar, kalau saya lihat untuk bulan ini (Julai), jangkaan kita penyelesaian (kutipan sampah) sekitar 97.5 peratus.

"'Masih ada 2.5 peratus kawasan yang ada masalah, kita kena ingat di Ipoh untuk komersil dan kediaman ada lebih kurang 230,000 pegangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Daripada Theta Edge Berhad Dengan Kerjasama MBI, Kepada Pusat Komuniti, di Dewan Azlan Shah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge Berhad, Nuraina Zainal Abidin, Pengarah Negeri Tabung Haji Perak, Mohamad Abas dan Ahli-Ahli Majlis MBI.

Ketika ditanya mengenai isu rungutan orang ramai berhubung kutipan sampah yang masih berbangkit, Rumaizi menjelaskan pihaknya sedaya upaya mengurangkan isu berkenaan.

"Saya tak kata kita dapat hapuskannya (rungutan) tetapi dengan pembelian (lori sampah) ini kita mampu kurangkan isu lambat kutipan sampah.

"Masalah utama kita bukan peralatan semata-mata tetapi lebih kepada kekurangan pekerja dalam sektor pembersihan," katanya.

Mengulas lanjut berhubung isu kekurangan pekerja pembersihan, Rumaizi berkata masih ramai tidak berminat untuk bekerja dalam sektor itu, walaupun diberikan imbuhan yang lumayan.

"Hendak kata gaji tidak berbaloi, kita sudah berikan banyak peningkatan. Gaji asas yang diberikan difahamkan RM1,700 kerana sekarang gaji minimum RM1,500.

"Masalahnya bukan sekadar gaji tetapi imej pekerjaan itu, mungkin mentaliti anak tempatan yang belum terbuka untuk bekerja dalam sektor ini, ramai yang masih susah terima.

"Persaingan daripada pekerjaan lain pun banyak seperti kilang dan sebagainya, jadi ramai yang memilih kerja lain," katanya lagi.

Sebelum ini Peraktastic melaporkan, pengoperasian dua buah lori sampah compactor baharu bukan sahaja melancarkan lagi operasi kutipan, malah dapat meningkatkan imej Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Rumaizi berkata, ini kerana kebanyakan lori compactor sedia ada dalam keadaan uzur dan tidak kompetitif untuk dioperasikan.