KPDNHEP patahkan cubaan beli diesel subsidi
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 644
IPOH - Sebuah stesen minyak di Segari, Manjung telah diperiksa sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung kerana melakukan aktiviti meragukan semalam.
Pemeriksaan kira-kira jam 8.20 malam itu hasil aduan dan maklumat awam bahawa wujudnya aktiviti pembelian barang kawalan diesel bersubsidi menggunakan selain tangki kenderaan.
Pengarah KPDNHEP negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pemerhatian mendapati terdapat dua lori mengunjungi stesen minyak tersebut untuk membeli diesel dan diisi ke dalam tong plastik di belakang kenderaan.
Menurut beliau, menyedari hal tersebut, pasukan serbuan telah menahan dua lelaki berumur lingkungan 56 tahun dan 31 tahun bersama-sama kenderaan (lori) yang ketika itu sedang membeli minyak diesel di stesen minyak tersebut.
"Hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
"Dua tindakan kes telah diambil ke atas kedua-dua pemilik lori yang melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak 2,706 liter, sebuah lori 7 tan dan sebuah lori bounded," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Keseluruhan sitaan kes ini dianggarkan berjumlah RM 57,817.90.
Tindakan kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sementara itu di Kuala Kangsar kelmarin, seorang peniaga yang menjual pakaian sukan berjenama terkenal secara online didenda RM25,000 atas tuduhan menjual pakaian
tiruan berjenama antarabangsa pada 13 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP negeri Perak.
Pemilik perniagaan yang berusia 31 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan pakaian berjenama berkenaan di laman sosial dengan harga yang lebih murah dari pasaran bagi menarik perhatian pembeli.
Tertuduh didakwa memiliki pakaian pelbagai jenama terkenal antarabangsa sebanyak 4,750 helai dengan menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah dipremis perniagaannya di Kuala Kangsar Prisma, Kuala Kangsar.