IPOH - Sebanyak 500 unit tong sampah beroda diagihkan kepada penduduk di Taman Pengkalan Jaya (Taman SPPK) di sini pagi tadi bagi kegunaan penduduk setempat.

Taman SPPK merupakan kawasan perumahan antara yang terawal di bandaraya Ipoh di kawasan sebelah Pasir Puteh yang kini berusia 40 tahun.

Penyerahan disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kaunselor Tony Khoo yang juga Ketua Bahagian MCA Ipoh Timur.

Tong sampah itu bagi membantu proses pembuangan sampah domestik lebih bersih dan teratur oleh penduduk di kawasan tersebut.

Selain itu, kerja-kerja kutipan sampah juga dapat dijalankan lebih lancar terutamanya bagi penduduk yang tidak mempunyai tong sampah termasuk menggantung sampah di tiang atau pintu rumah.

Agihan tong sampah percuma kepada penduduk ini merupakan inisiatif MBI bagi memastikan kawasan masing-masing bebas daripada sampah haram.

Menerusi pemberian tong sampah berkenaan, setiap rumah mempunyai tanggungjawab memastikan sampah tidak diletakkan di luar yang boleh mengundang kehadiran haiwan liar.

Penyerahan tong sampah percuma ini juga akan membantu merealiasikan hasrat MBI menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih di Malaysia tahun 2023.

Sementara itu, penduduk, Aziz Majid, mengucapkan terima kasih kepada MBI atas sumbangan tong sampah tersebut yang sangat diperlukan penduduk selain memudahkan pengumpulan sampah.

"Ketika ini saya misalnya menggunakan tong sampah lama yang diletak di belakang rumah. Tong sampah itu pun tiada penutup apabila diambil orang.

"Jadi dengan adanya tong sampah baharu ini, tidaklah sampah berbau kerana ada penutup dan sampah hanya dikeluarkan apabila tiba waktu hari kutipan," ujarnya.