IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan penurapan jalan di Zon 14, meliputi enam lokasi yang mengalami kerosakan baru-baru ini.

Ahli Majlis MBI Zon 14, Prof Dr Richard Ng ketika dihubungi berkata jalan yang diturap membabitkan Persiaran Tokong dan sebahagian Jalan Foo Eng Lin termasuk Jalan Holnberg, Jalan Ng Kheng Tan, Housing Trust, Jalan Bunga Kala, Jalan Bunga Kemuning dan sebahagian Jalan Anggerik, Taman Pinji.

Katanya lagi, kebanyakan jalan di Zon 14 mengalami kerosakan teruk susulan tidak diturap lebih 20 tahun.

"Justeru, keluhan penduduk di sini telah saya ajukan pada pihak MBI, setelah Zon 14 terlepas daripada senarai jalan yang perlu dibaiki.

"Syukur, akhirnya MBI telah meluluskan untuk menurap empat jalan di Zon 14, yang sememangnya memerlukan jalan yang lebih selesa untuk pengguna," katanya lagi.

Beliau berkata, anggaran panjang jalan di Housing Trust adalah lebih kurang 400 meter.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan jalan adalah lebih kurang 1.8 Km.

"Kawasan turapan ini adalah di batang jalan di Taman Housing Trust Ipoh. Taman ini dibangunkan ketika zaman British pada tahun 1957 yakni taman tertua di Ipoh.

"Saya bagi pihak penduduk mengucapkan terima kepada Majlis Bandaraya Ipoh kerana memenuhi permintaan saya untuk membantu Zon 14," katanya.