IPOH: Selain berperanan sebagai gedung ilmu, Perpustakaan Tun Razak (PTR) turut menumpukan kepada usaha menyebarkan kepentingan pendidikan kesihatan kepada umum.

Bertepatan dengan itu, PTR telah menganjurkan program My Love PTR Didik Bestari yang dihadiri lebih 100 orang warga Ipoh, termasuk kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.

Program itu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis MBI, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Abu Bakar Hussian.

Menurut Azizul Kama, My Love PTR Didik Bestari merupakan program berkisarkan pendidikan kesihatan, ia juga membabitkan kerjasama daripada pelbagai agensi.

"Inisiatif ini diwujudkan adalah bertujuan memberi ilmu pengetahuan berkaitan kesihatan yang merupakan aspek penting kepada individu dalam membuat persiapan awal untuk kesihatan diri.

"PTR menyasarkan dan memberi keutamaan kepada sekolah sama ada peringkat rendah dan menengah untuk bersama melaksanakan program My Love PTR Didik Bestari ini," katanya selepas merasmikan program tersebut.

Katanya lagi, pelbagai program menarik dianjurkan bersempena program itu seperti ceramah kesedaran penyakit kritikal, pemeriksaan kesihatan dan sesi soal jawab dari agensi Takaful Ikhlas serta jualan buku.

Beliau turut berharap penganjuran program itu dapat menjadi platfrom terbaik dalam usaha memastikan pengetahuan berkaitan kesihatan disalurkan kepada warga kota secara menyeluruh.