GERIK: Tiga daerah di negeri ini dipilih menjadi lokasi temu duga dan pemilihan guru takmir Orang Asli, khusus bagi meningkatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat itu.

Daerah yang telah dan akan menjadi pusat lokasi temu duga ialah Kuala Kangsar, Gerik dan Muallim. Pemilihan itu berlangsung selama tiga hari, bermula Isnin.

Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Gerik, Mohd Wafi Zuhdi Ahamad berkata, peserta telah dipilih oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk diketengahkan sebagai calon guru takmir dalam kalangan Orang Asli.

"Tugas utama guru takmir Orang Asli (GTOA) di Perak lantikan JAKIM adalah mengajar asas hal ehwal agama sesuai dengan tahap Orang Asli di surau diri Jumaat dan surau-surau di lokasi terbabit.

"Jika semua layak kita akan lantik semua sebab syarat bagi guru takmir sangat asas, sesuai dengan tahap kefahaman Islam Orang Asli.

"Semua calon temu duga adalah Orang Asli. Itu memang syarat untuk dilantik sebagai guru takmir Orang Asli.

"Difahamkan kuota awal JAKIM beri kepada negeri Perak (untuk guru takmir Orang Asli) kira-kira 27 orang," katanya dalam ketika dihubungi.

Mohd Wafi berkata, Gerik menjadi lokasi pemilihan kedua selepas Kuala Kangsar baru-baru ini.

"Untuk temu duga di sini (Gerik), seramai enam orang calon Orang Asli hadir, seterusnya pula akan diadakan bagi daerah Muallim dan calon dikhabarkan seramai 15 orang.

"Temu duga di sini bertempat di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Gerik bermula jam 9 pagi hingga 11.30 pagi.

"Ia membabitkan empat orang panel penilai. Jika calon berjaya, mereka bakal menaburkan khidmat bakti untuk perkampungan Orang Asli masing-masing di RPS Banun, Kemar dan Banun di Gerik," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan bercadang mewujudkan program khas untuk melantik Orang Asli menjadi guru takmir sebagai antara usaha meningkatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat itu.

Bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli, perlu diberi perhatian sewajarnya.