IPOH: Lebih banyak perancangan dan kerjasama akan diteruskan bersama Turkiye, selain teknologi dan kejuruteraan yang terjalin sebelum ini,ujar Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau optimis negara tersebut dapat memberi impak besar dari sudut kerjasama digital di bandar raya ini memandangkan sasaran Ipoh untuk menjadi bandar pintar pada tahun 2030.

Rumaizi berkata kerjasama yang terjalin baru-baru ini di antara Ipoh dan negara tersebut, sekali gus melengkapi pendirian Malaysia sebelum ini yang mahu memperkuat hubungan menerusi perkongsian teknologi.

"Selain daripada kejuruteraan, kita (MBI) dan Turkiye juga sedang melihat potensi kerjasama digital antara Ipoh dan negara itu.

"Sebab kita (Ipoh) merancang untuk menjadi smart city (bandar pintar) tahun 2030, teknologi baharu dari Eropah mungkin kita akan masuk dan bincang melalui Turkiye.

"Kita (MBI) baharu sahaja jalin kerjasama dengan Turkiye tahun lepas menerusi pembekalan lori sampah (compactor) dengan teknologi lebih canggih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat Ketua Jurutera lori kompaktor Turkiye ke atas Datuk Bandar Ipoh di bangunan MBI, di sini pada Jumaat.

Dalam kunjungan hormat itu, ketua jurutera, Oktay Keskin mewakili Syarikat Orakci Makina dari Turkiye.

Hadir sama Pengurus Kanan Global Komited Sdn Bhd, Yusri Ismail yang merangkap pembekal dari Malaysia.

Katanya lagi, antara perkara lain yang dirancang ialah kerjasama pelancongan yang sememangnya sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Kita tahu Eropah Timur ini bukan setakat Turkiye saja tetapi hingga ke Bosnia dan sebagainya, itu juga lokasi pelancongan yang bagus dan terkenal seluruh dunia.

"Turkiye ini banyak kelebihannya, dari sudut teknologi ia agak ke depan berbanding Malaysia. Itu yang kita belajar dengan mereka.

"Kalau kita lihat Ipoh selama ini banyak teknologi datang dari Asia Timur seperti China dan Jepun. Sekarang kita nak kembangkan kepada teknologi di wilayah Eropah Timur," katanya lagi.

Sementara itu, Oktay berkata pihaknya gembira dengan kerjasama yang terjalin di samping mengharapkan hubungan strategik itu diteruskan di masa hadapan.

"Saya melihat Ipoh sebagai sebuah bandar yang cantik, bersih dan menarik. Kerjasama pembekalan lori kompaktor sebelum ini membuka ruang untuk hubungan ini berkembang.

"Tentu sahaja kami berharap lebih banyak kerjasama dari sudut perniagaan dan bertukar idea untuk mengukuhkan hubungan ini," katanya.

Wakil pembekal dari Malaysia, Yusri pula berkata kerjasama antara kedua negara dilihat semakin meluas.

"Saya boleh kata Turkiye itu sebagai rumah kedua sebab sering ke sana untuk urusan kerjasama.

"Banyak kelebihan yang kita belajar dan peroleh daripada kerjasama ini, budaya pun tidak banyak berbeza daripada kita," katanya.

Dalam kunjungan hormat itu, Global Komited Sdn Bhd mengiringi pembuat badan kompaktor dari Turkiye iaitu Syarikat Orakci Makina untuk mengadakan lawatan ke MBI.

Ia sekali gus bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas peluang dan kepercayaan yang diberikan MBI kepada syarikat tersebut.

Sebelum ini, MBI telah membeli dua unit loti sampah kompaktor pada Julai lalu.

Kenderaan ini menggunakan chassis hino yang berkapasiti 19 tan dengan muatan dan jumlah isipadu lori tersebut adalah 16 cubic meter.

Pelbagai teknologi yang diperkenalkan dalam model ini antaranya sistem GPS, butang kecemasan, penggera keselamatan, monitor & kamera pandang belakang, pengehad kelajuan operasi, pagar keselamatan awam (Truck Underride Guard) dan lain-lain.

 

Ends//