Ipoh: Lebih 2,000 orang peserta acara larian MCIS Life Malaysia Women Marathon (MCIS Life-MWM) 2022 berjaya menghabiskan jarak larian disamping menikmati keindahan dan keunikan Bandaraya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @Md Daud berkata penganjuran MCIS Life-MWM merupakan acara larian yang meraikan wanita dalam komuniti larian di samping menperjuangkan isu wanita dan kesaksamaan jantina.

“Siri maraton ajuran MCIS Life Malaysia merupakan anjuran kali pertama di luar Lembah Klang kerana sebelum ini telah dilangsungkan di Petaling Jaya pada bulan Mei lalu.

“Maraton ini secara langsung memperkenalkan Bandaraya Ipoh khususnya kepada para peserta dari luar Perak selain meraikan bulan sambutan kemerdekaan negara kita.

“Bandaraya Ipoh terkenal dengan bangunan yang dibina pada zaman pemerintahan British. Ia mempunyai sejarahnya yang tersendiri seperti Tugu Peringatan Perang Ipoh, Tugu Peringatan Birch, Town Hall Ipoh dan pelbagai lagi. Semua itu dapat mengembalikan semangat nasionalisme dan nostalgia di zaman penjajah British di Tanah Melayu”, katanya kepada Ipohecho sewaktu ditemubual selepas acara penyampaian hadiah kepada para pemenang di Ipoh Padang, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Muhammed Radzi.

Maraton ini terbuka kepada orang ramai yang berumur 16 tahun ke atas menerusi larian jarak 5 km, 10 km, 21 km dan 42 km Duo.

Acara maraton penuh beregu (42km) dan separa maraton (21km) telah dilepaskan oleh atlet veteran Malaysia dalam acara Olimpik dan Sukan Komanwel, Samson Vallabouy dan Josephine Mary. Manakala acara larian 10 km dan 5 km telah dilepaskan Dato’ Nolee Ashilin dan Dato’ Rumaizi.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Larian MCIS Life-MWM, Karen Loh berkata maraton ini mengetengahkan sejarah dan identiti budaya Malaysia bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara.

“Secara kebetulan, tema sambutan merdeka tahun ini ialah ‘Teguh Bersama’ yang juga sejajar dengan prinsip kredo kami #PeopleHelpingPeople.

“Sempena larian yang julung kali diadakan di bandaraya yang terkenal dengan sejarah perlombongan bijih timah ini, satu kategori baru diperkenalkan iaitu Kategori Maraton Penuh Beregu di mana dua pelari boleh berlari secara bergilir untuk melengkapkan jarak penuh maraton iaitu 42 km.

“Acara hari ini lebih bermakna apabila klinik bergerak MCIS Life ‘Purple Truck’ yang merupakan sebuah klinik saringan kanser bergerak dirasmikan DYMMRaja Permaisuri Perak , Tuanku Zara Salim”, ujarnya.

Juara acara Maraton Penuh Beregu, Kategori Beregu Wanita dimenangi oleh Kartini Ahmad Kamal dan Noor Farina Rusdi; Beregu Lelaki dimenangi oleh Wong Yize dan Mohammad Izul Amirul dan Beregu Bercampur dimenangi oleh Nik Fakaruddin dan Noor Amelia.

Juara Separa Maraton bagi Wanita Terbuka disandang oleh Chen Li Peng dan Veteran Wanita dan Lelaki dimenangi oleh Sea Hui Thin dan Kipchirchir Lel.

Sementara itu, juara 10 km Wanita Terbuka dimenangi oleh Law Lee Chee, Veteran Wanita dimenangi oleh Lee Sium Louw dan Veteran Lelaki disandang oleh Mohd Naim Jamaluddin. - Peraktastic-