Gerik, 4 April: Sebanyak 272 buah rumah di 10 buah kampung Orang Asal di Daerah Hulu Perak menerima sumbangan kotak makanan oleh Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Anuar Zainal Abidin berkata misi bantuan itu menumpukan kepada kebajikan penduduk Orang Asal yang tinggal di kawasan pedalaman. 

"Kita menyokong usaha Kerajaan Negeri Perak membela nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

"Bantuan ini melibatkan 304 isi rumah yang tinggal kawasan-kawasan terpencil. Misi ini turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak dan Pertubuhan Mendidik Insan Cemerlang Larut Matang dan Selama Perak", katanya.

Selain itu, MB Inc. juga turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak kepada YAB Menteri Besar Perak bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri membantu golongan sasar dan perbelanjaan melawan penularan wabak Covid-19.