Ipoh- “Sebelum tahun baru ini, saya mesti dapatkan sebuah rumah sewa baharu untuk anak-anak yatim kerana saya sudah tidak mampu membayar sewa bulanan yang tinggi,” begitulah luahan perasaan Pengerusi Pertubuhan Kanak-Kanak Pelangi Perak (Rainbow Children's Home), Jennifer, 40, sewaktu ditemubual Peraktastic.

Menurut Jennifer, Pertubuhan Kanak-Kanak Pelangi Perak yang dihuni seramai 18 orang anak-anak yatim perempuan itu, memperuntukan sebanyak RM10,000 sebulan bagi membiayai pelbagai kos termasuk sewa dan penyelenggaraan.

“Kos sewa rumah sekarang ialah RM3,000 sebulan. Saya berterima kasih kepada seorang bergelar Datuk yang sudi membantu sebanyak RM1,500 sebulan selama setahun dan akan berakhir pada bulan ini.

“Bermula tahun depan saya harus membayar RM3,000 sebulan dan ianya tidak mampu untuk saya lakukan memandangkan banyak lagi kos yang harus ditanggung seperti gaji pekerja seramai lima orang, perbelanjaan dan keperluan sekolah, bil, petrol dan lain-lain lagi.

“Mahu atau tidak mahu, saya harus berpindah ke rumah baharu pada kadar sewaan di bawah RM2,000 sebulan,” katanya.

Jennifer ditemui bersama-sama anak-anak yatim di Majlis Tree Lighting Ceremony  di Tiffin Restaurant, anjuran Weil Hotel bagi meraikan anak-anak yatim sempena kedatangan perayaan Hari Natal hujung bulan ini.

Pertubuhan Kanak-Kanak Pelangi Perak yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu, terletak di Jalan Labrooy, Ipoh. Ia dihuni oleh anak-anak yatim di antara lingkungan umur 3 tahun hingga 18 tahun.

Menurut Jennife, beliau berbesar hati sekiranya ada mana-mana jabatan, agensi dan individu yang sudi tampil membantu bagi meringankan bebanan yang dihadapinya sekarang.

“Saya sangat memerlukan rumah baharu untuk kediaman anak-anak yatim ini. Saya perlukan rumah ‘single banglo’ dengan keluasan 5,000 kaki persegi dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan.

“Lokasi rumah haruslah di sekitar First Garden, Lim Garden, Menglembu dan Lahat. Saya mahukan di sekitar kawasan itu kerana bagi memudahkan pergerakan anak-anak yatim ke sekolah yang ada sekarang.

Kepada yang ingin meringan bebanan yang dihadapi bolehlah menyalurkan bantuan ke Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Pelangi ke akaun Maybank 50 82 25 51 58 44 atau terus ke alamat 15, Jalan Labrooy, 30100 Ipoh, Perak. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Jennifer 017-5611767. - PERAKTASTIC-