IPOH: Sebanyak 653 aduan diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sehingga 5 Disember, berhubung ketidakpuasan hati serta ketidakcekapan agensi penguatkuasaan di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Norhayati Ahmad berkata, daripada jumlah itu aduan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 467 aduan atau 70 peratus.

"Selain itu sebanyak 37 aduan (6 peratus) melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 11 aduan (2 peratus) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"9 aduan (1 peratus) melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan 141 (21 peratus) aduan melibatkan agensi penguatkuasaan lain.

"Daripada jumlah ini 39 aduan berhubung dakwaan salah laku diterima di negeri Perak iaitu 29 aduan membabitkan PDRM, dua JKDM, satu aduan membabitkan APMM dan JIM, satu aduan APMM dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), enam aduan melibatkan agensi yang bukan di bawah seliaan EAIC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis E.R.A.T EAIC Bersama Masyarakat Peringkat Zon Utara, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Norhayati berkata EAIC mengawal selia sebanyak 21 agensi seperti PDRM, JPJ, JIM dan JDKM.

Katanya lagi, Perak merupakan negeri kedua bagi jelajah program tersebut, setelah dianjurkan di Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata, EAIC berfungsi membendung dan membanteras salah laku anggota penguat kuasa serta memperkasa integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.

Katanya, aduan yang diterima daripada masyarakat berhubung salah laku atau kelemahan agensi penguatkuasaan wajar dilihat sebagai hadiah.

"Agensi penguatkuasaan sering menerima aduan berkenaan ketidakpuasan hati terhadap prosedur dan perkhidmatan yang disediakan, yang seringkali dikaitkan dengan ketidakcekapan serta salah laku.

"Melalui aduan tersebut, kelemahan dalam prosedur dan perkhidmatan dapat dikenal pasti dan diperbaiki," katanya.

Tambahnya, penubuhan EAIC bukan untuk mencari kesalahan atau membuka aib pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.

Sebaliknya ia harus dilihat sebagai medium untuk membantu anggota penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan dalam pemantapan integriti serta meningkatkan mutu akauntabiliti dalam institusi penguatkuasaan negara.