Ipoh- Jalinan kerjasama erat antara media massa tenyata berkesan dalam menyampaikan pelbagai informasi dalam memupuk semangat perpaduan erat dikalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Norhayati Ahmad berkata hubungan strategik bersama media amatlah penting dan diperlukan khususnya untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat terutama dalam usaha membentuk pemikiran masyarakat mengenai integriti.

“Kami percaya hubungan kerjasama yang erat bukan sahaja harus dijalinkan dengan agensi penguatkuasaan seliaan dan agensi-agensi awam, malah harus dijalinkan dengan organisasi dan agensi berkepentingan seperti media dan badan bukan Kerajaan.

“Ia seiring dengan aspirasi yang sentiasa menjadi pegangan EAIC iaitu ‘to work through others, with others’. Justeru majlis pada hari ini merupakan pendekatan yang terbaik untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama EAIC bersama dengan pengamal media.

“Pihak EAIC akan sentiasa komited untuk memberikan kerjasama kepada rakan-rakan media agar kita dapat menyalurkan maklumat yang tepat dalam usaha untuk membudayakan integriti bukan sahaja dalam kalangan anggota penguat kuasa/agensi penguatkuasaan tetapi juga masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis E.R.A.T Bersama Media, di Hotel Kinta Riverfront, di sini semalam.

EAIC berfungsi sebagai badan pengawasan integriti agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Menurutnya, EAIC berharap akan memupuk kepekaan serta keprihatinan pihak media selaku mata dan telinga masyarakat terhadap isu-isu berkaitan salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai-pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.

“Selaku badan pengawasan integriti agensi penguatkuasaan tunggal di negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menambah baik keyakinan dan persepsi rakyat terhadap perkhidmatan awam khususnya pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.

“Saya sering memberikan penekanan terhadap objektif dan matlamat EAIC yang seringkali disalah tafsir oleh masyarakat umum, khususnya anggota penguat kuasa sendiri bahawasanya, penubuhan EAIC ini, bukan untuk mencari kesalahan atau membuka keaiban seseorang pegawai penguat kuasa atau sesuatu agensi penguatkuasaan.

“Sebaliknya, penubuhan EAIC yang sebenarnya harus dilihat sebagai sebuah perisai atau medium untuk membantu agensi penguatkuasaan dalam pemantapan integriti, serta meningkatkan mutu akauntabiliti dan perkhidmatan institusi penguatkuasaan di negara ini,” ujarnya. -PERAKTASTIC-