IPOH - Syarikat pemaju hartanah tempatan, Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd. (Mimbar Nusantara) mencipta kejayaan apabila projek hartanah yang dibangunkan mendapat pengiktirafan pada peringkat nasional.

Projek Perumahan PerakKu Taman Tualang Sekah Fasa 2 telah dipilih dan memenangi anugerah Property Guru Asia Awards Malaysia With IProperty 2022 — Best Mass Market Landed Development (Northern Region).

Taman Tualang Sekah merupakan projek Rumah PerakKu pertama di Perak yang memenangi anugerah pembangunan perumahan pada peringkat nasional.

Ia dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPH) negeri Perak yang berjaya disiapkan mengikut jadual.

Taman Tualang Sekah ini dibahagikan kepada dua fasa yang mana Fasa 1 telah siap dan habis jual pada 2018.

Ia mengandungi 54 unit teres satu tingkat yang dijual pada harga hanya RM70,000 sahaja seunit manakala Fasa 2 mengandungi 20 unit teres dua tingkat yang baru siap dibina.

Kediaman ini juga telah habis dijual pada harga harga RM230,000 seunit.

Semalam, Majlis Minum Petang telah diadakan oleh pihak Mimbar Nusantara bagi meraikan anugerah yang diterima bersama rakan-rakan agensi-agensi kerajaan yang terlibat, rakan korporat, bank dan pembekal bahan binaan.

Majlis dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng mewakili Menteri Besar Perak.

Pengarah Urusan Mimbar Nusantara, Nazrin Cheong dalam ucapannya merakam ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat pada projek berkenaan.

Menurutnya, beliau percaya dan yakin dimana usaha dan inisiatif serta komitmen kerajaan Perak Darul dapat memperbanyakkan lagi pembangunan Projek Rrumah PerakKu mampu milik.

"Ini akan memberi penambahbaikan dan peluang kepada rakyat Perak, khususnya anak-anak muda untuk mampu membeli dan memiliki rumah impian mereka sendiri.

"Projek Perumahan Rumah PerakKu ini bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat bagi golongan B40 dan M40 khususnya di kawasan bandar dan luar bandar dijaga," ujarnya.

Katanya lagi, pihak Mimbar Nusantara selaku pemaju telah menyaksikan sendiri kemampuan dan kelkhlasan kerajaan negeri melalui LPHP yang telah banyak membuat perancangan yang begitu baik dan sempurna

Ini bagi mempastikan pencapaian sasaran sebanyak 50,000 unit Rumah PerakKu mampu milik dapat direalasasikan dalam masa terdekat ini. -PERAKTASTIC-