IPOH: Hadiah keseluruhan berjumlah RM10,000.00 telah dimenangi dalam satu majlis cabutan bertuah sempena Program Aktiviti Pengumpulan Sisa Elektrik Dan Elektronik (E-Waste) Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh Tahun 2022.

Dua sesi cabutan telah disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di mana sesi pertama melibatkan seramai 30 orang pemenang dan sesi kedua 10 orang pemenang.

Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak berkata tawaran hadiah cabutan bertuah telah ditaja oleh Syarikat Edsha Solutions Sdn. Bhd. Seramai 626 peserta telah menyertai aktiviti ini sejak 22 Mei 2022 hingga 30 November 2022.

“Aktiviti pengumpulan E-Waste adalah salah satu aktiviti permulaaan kepada peralihan pengurusan sisa dari ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Ia mengetengahkan aktiviti pengumpulan sisa minyak masak terpakai (ditukar kepada BIO FUEL) , tayar terpakai dan bahan kitar semula seperti kertas, kad board, plastik, kaca, aluminium.

“Aktiviti pertandingan ini melibatkan 15Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Perak. Selain dapat merancakkan ekonomi, ia juga mampu memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar diteruskan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan seperti yang disasarkan oleh MBI.

“Program seumpama ini, diharap dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan secara holistik seterusnya mencapai sasaran bandaraya Ipoh terbersih menjelang 2023,” katanya menerusi teks ucapan Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin, di sini hari ini.

Kesemua 30 pemenang cabutan bertuah sesi pertama bakal menerima wang tunai RM100.00, sementara 10 pemenang lagi menerima wang tunai bermula RM150.00 hingga ke tempat pertama RM1,500.00.

Para pemenang akan diumumkan di laman rasmi MBI dan Facebook. Walau bagaimanapun, lima cabutan simpanan telah dilakukan untuk menggantikan sekiranya dalam masa 14 hari para pemenang yang berjaya gagal dihubungi. -PERAKTASTIC-