IPOH- Sempena perayaan Tahun Baru Cina 2023 (TBC2023), Taman Tema Air Lost World Of Tambun (LWOT) bakal memeriahkan lagi sambutan dengan pelbagai program untuk seisi keluarga.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari berkata kesinambungan cuti sekolah pada 20 hingga 24 Januari 2023 ini, pelbagai acara menarik bakal dihidangkan kepada para pengunjung LWOT.

“Besesuaian dengan tahun arnab pada tahun ini, pihak pengurusan LWOT mewujudkan Rabbit Wonderland dengan persekitaran yang lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini.

“Kawasan baharu ini menempatkan 250 ekor arnab yang terdiri daripada 14 spesis. Tarikan baharu ini, memberi peluang kepada para pengunjung untuk lebih menghayati perayaan TBC2023 khususnya bersama anak-anak yang sememangnya menyukai haiwan jinak ini,” katanya pada dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Spring Into New Beginning, Chinese New Year 2023 di LWOT di sini hari ini.

Pada masa sama, Nurul Nuzairi turut berkongsi kemeriahan TBC2023 di mana LWOT akan menghidangkan dua sesi persembahan tarian singa selain daripada acara-acara lain yang telah dirancang.

“Tarian singa begitu sinomin dan menjadi tarikan utama. Pada 22 dan 23 Januari 2023, para pengunjung berpeluang menikmati persembahan tarian singa di pintu masuk LWOT pada 12.00 tengahari dan persembahan tarian singa akrobatik di dalam taman tema.

“Untuk memeriahkan lagi sambutan pada sebelah malamnya, persekitaran taman tema akan dilimpahi dengan keindahan cahaya tanglung yang berwarna-warni.

“Persembahan Flaming Percussion sememangnya dinanti-nantikan oleh para pengunjung. Persembahan malam itu bakal menjanjikan satu kelainan yang pastinya lebih mencabar dan mengkagumkan.

“Selain itu, aktiviti-aktiviti sampingan yang tidak kurang menarik turut dilangsungkan seperti God of Prosperity, Dream Bunny dan Luminous Dragon Dance. Kami menganggarkan seramai enam ribu pengunjung bakal berkunjung ke LWOT,” ujarnya.

Sambutan Spring Into New Beginning, Chinese New Year 2023 ini turut sama berlangsung di Taman Tema Sunway, Sunway Laggoon bermula 20 hingga 29 Januari 2023. -PERAKTASTIC-