TUALANG SEKAH: Jika sebelum ini kebanyakan urusan di antara rakyat dan agensi kerajaan dibuat pada hari bekerja, kini mereka berpeluang bertemu empat mata pada hujung minggu.

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi penganjuran Karnival WOW PerakFM boleh menjadi serampang dua mata, baik kepada rakyat dan juga agensi berkaitan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri, Mohd Azlan Helmi, program sedemikian memudahkan masyarakat untuk menyelesaikan urusan mereka terutama pada hujung minggu.

"Kebanyakan rakyat jika nak berurusan dengan agensi, mereka perlu berurusan pada hari biasa, kebiasaan pada hari tersebut mereka bekerja, jadi kita minta bantuan semua agensi berhimpun bagi memudahkan mereka.

"Selain itu, hujung minggu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk setempat dengan pelbagai peluang dan kemudahan yang disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Wow PerakFM 'Tualang Sekah Kita Bersaudara' di Arena Rakyat Tualang Sekah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Shasha Veriah serta Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Perak, Syazariah Majidi.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif ini diambil daripada usaha yang dilakukan oleh Menteri Besar Perak iaitu Hari Bertemu Pelanggan (HBP).

"Kita ada perancangan untuk perluaskan aktiviti antara agensi kerajaan dan rakyat seperti ini di daerah lain selepas ini," katanya.

Sebanyak 17 jabatan dan agensi terlibat dalam program kali ini antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Yayasan Perak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain kaunter perkhidmatan,orang ramai juga boleh melakukan saringan kesihatan dan juga pemeriksaan motosikal percuma di reruai Hospital Tapah dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Negeri Perak yang disediakan.

Dalam perkembangan sama, selain perkhidmatan dan pameran, turut diadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni insan kurang bernasib baik di kawasan tersebut.