KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau merampas 52 unit bubu naga di kedudukan 10.2 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau di sini kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, Maritim Malaysia mengesan bendera yang mencurigakan dan disyaki penanda kepada bubu naga.

"Hasil pemeriksaan ke atas bendera itu menemukan sebanyak 52 unit bubu naga berada di kawasan terbabit.

"Kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan bubu naga pada kali ini adalah berjumlah RM3,640 dengan nilai RM70 setiap unit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Najhan berkata, Jumaat lalu sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama dua kru warga asing Myanmar ditahan di kedudukan 12.9 batu nautika barat muara Kuala Terong jam 2.15 petang.

Menurutnya, bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan sebelum didekati untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan, terdapat dua kru warga asing Myanmar termasuk tekong tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang masing-masing berumur 27 dan 38 tahun.