IPOH - Negara kehilangan seorang lagi insan seni apabila kartunis lagenda, Fatah Ngah, 70, yang terkenal dengan kartun Lagak A. Mamud dalam majalah humor, Gila-Gila meninggal dunia di rumahnya di Kampung Alor Tembusu, Dungun, Terengganu.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi tadi kerana keuzuran sakit tua.

Fatah merupakan antara kartunis pelopor majalah humor nombor satu negara, Gila-Gila yang mula menemui pembaca pada tahun 1979.

Kartun Lagak A. Mahmud lukisannya dalam dialek Terengganu telah diinspirasi daripada kehidupan sehariannya di bandar Dungun pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Allahyarham Fatah yang juga abang kepada komposer terkenal tanahair, Manan Ngah
merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Dalam satu temubual, Manan, 62, memberitahu abangnya telah terlantar akibat penyakit saraf sejak lebih lima tahun lalu.

Kata Manan, adiknya, Laili menjaga abang mereka sepanjang malam sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah Fatah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Dungun pada pukul 12 tengah hari.