IPOH - Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar cawangan Perak akan menganjurkan pameran Kembara Neo 2023 (Eksplorasi Grafik) di Pulau Misa esok.

Pulau Misa merupakan sebuah perkampungan warisan budaya Melayu yang diangkat sebagai salah satu tempat pelancongan oleh Majlis Daerah Perak Tengah.

Ketua projek, Wan Nurul Izzati Wan Muhammad Zulkifli berkata, pogram ini merupakan penilaian akhir dan pameran bagi 96 pelajar Jabatan Seni Reka Grafik dan Digital.

"Projek ini merupakan satu inisiatif yang menggalakkan pelajar untuk menggunakan konsep Melayu, Perak, pelancongan dan kebudayaan sebagai bahan pelajaran yang bertemakan Pulau Misa.

"Ia mendapat kerjasama pihak pengurusan Pulau Misa dengan memilih hari Sabtu kerana bilangan pengunjung dan pelancong yang tinggi.

"Menerusi inovasi rekaan grafik yang telah dilaksanakan melalui tugasan subjek, rekaan pelajar akan dipamerkan dan diketengahkan untuk usahasama ini," ujarnya

Jelas beliau yang juga pensyarah Seni Reka Grafik dan Media Digital, pemilihan Pulau Misa bagi mendekatkan lagi jenama UiTM kepada masyarakat di daerah Perak Tengah.

"Pelajar juga akan beramah mesra dengan pengunjung dan pelancong sambal
menunjukkan hasil karya," ujarnya.