IPOH - Memasuki tahun 2023 yang diharapkan membawa perubahan pada warga Ipoh, bagaimana pun tidak sepertimana yang dibayangkan.

Masyarakat yang baru pulih daripada situasi pandemik sedang melalui fasa baharu, namun situasi sebaliknya pula dihadapi.

Isu jalan sesak yang dihadapi setiap hari oleh penduduk kawasan perumahan Panorama Tambun Perdana menimbulkan kekusutan apabila memandu keluar dari rumah.

Kawasan kejiranan ini meliputi lokasi kejiranan mewah yang dibangunkan Keris Property Development, Dales & Manor Born dan Skyhome Apartment.

Situasi yang berlaku ini disebabkan perubahan aliran trafik yang tidak membenarkan penduduk di kawasan ini membelok masuk ke taman perumahan tersebut.

Kecewa kerana tiada pemakluman jelas daripada pihak bertanggungjawab menyebabkan majoriti penduduk marah apabila terpaksa mengeluarkan kos petrol kerana perlu memandu lebih jauh dan bersabar dengan kesesakan.

Saban hari mereka terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas walaupun keluar rumah untuk bekerja sebelum terbit matahari dan keadaan sama semasa pulang kerja.

Difahamkan, kerja-kerja pengubahsuaian serta membaiki jalan di situ bermula tiga bulan lalu dan walaupun penduduk berterima kasih atas pembaikan yang dilakukan namun kecewa apabila laluan keluar masuk ke Panorama Tambun Perdana berubah.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Lam memberitahu, dia yang bekerja di Jelapang membuat tiga kali perjalanan keluar masuk ke kawasan kediaman atas urusan.

"Kini hanya ada satu laluan keluar masuk yang mana ia menjadi sukar disebabkan kerja-kerja pembinaan jalan telah menghalang laluan.

"Keadaan ini menyukarkan. Disebabkan penduduk perlu memandu setiap hari untuk pelbagai urusan maka ia lebih sukar apabila berdepan situasi sama saban hari," ujarnya.

Sementara itu, penduduk lain, Visvanathan berkata, mereka juga perlu berhadapan dengan kesesakan menuju ke Tambun dan Sunway, manakala keadaan sebaliknya pada waktu petang bermula di hadapan Hospital Pantai menuju ke Sunway.

"Kami terpaksa melalui lampu isyarat di bawah jambatan, (di sini tidak dibenar untuk membuat pusingan U, namun tiada papan tanda dan ramai yang berbuat demikian).

"Kami kemudiannya perlu memandu lebih jauh ke Balai Polis Tambun untuk membuat pusingan U (juga di lokasi tidak dibenarkan). Laluan alternatif harus dibenarkan kepada kita semua yang terjejas.

"Pusingan U di tiga lokasi selepas di bawah jambatan yang digunakan orang ramai adalah berbahaya.

"Seluruh kawasan itu sangat berbahaya selain tidak diletakkan papan tanda yang betul.” jelasnya yang bermastautin di sini selama 10 tahun.

Bekas pengerusi jawatankuasa penduduk Skyhomes, Julian Maria pula berkata, situasi yang dihadapi itu turut menyukarkan penduduk.

“Kerja-kerja jalan raya bermula pada Januari ini sangat menjengkelkan, tidak ada petunjuk di mana hendak buat pusingan U dan semua kemungkinan laluan (pusingan U) adalah menyalahi undang-undang dan berbahaya.

"Ini kerana ia jalan lurus dengan kebanyakan pemandu memandu laju.

"Saya telah membawa isu ini dan membuat pertanyaan kepada pihak berkuasa, saya telah menghubungi JKR, MBI dan ADUN Hulu Kinta, tetapi tidak mendapat sebarang penyelesaian.

"Kami hanya mahu masalah ini didengari dan ada jalan penyelesaiannya," ujar beliau.

Dalam pada itu, isu ini turut diajukan kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Team Keris Berhad TKB, Dato’ Lee Seng Hee yang merupakan pemaju bagi kawasan rumah mewah pangsapuri Dales dan Skyhome di sini.

“Ini berkaitan dengan kerja-kerja menaik taraf jalan di sepanjang persimpangan dari Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) menuju ke persimpangan Taman Perpaduan.

“Berdasarkan pusingan U, ia bertukar di tiga lokasi yang dikenal pasti bagi menggantikani lima lampu isyarat sedia ada.

"Kami berpendapat perubahan ini memerlukan pengguna memandu sejauh 800 meter (m) lagi sebelum pusingan U seterusnya memasuki ke kawasan kejiranan The Dales.

"Perjalanan tambahan ini menjadikan keseluruhannya 1.6km berbanding laluan kecil di selekoh kanan.

“Penutupan laluan membelok ke kanan ini juga memberi kesan langsung kepada aliran trafik untuk pembangunan Sunway Group, apabila pemandu perlu memandu sejauh 450m atau lebih jauh untuk mengambil pusingan U, membelok berhampiran McDonald’s, Sunway selepas lampu isyarat tiada.

"Ini tambahan sejauh 900m perjalanan untuk tiba ke kediaman Sunway," ujarnya.

Tahun lalu, MBI dan Sunway City Ipoh Sdn. Bhd. memulakan kerjasama projek naik taraf Jalan Tambun dengan kos RM16.35 juta.

Kos tersebut melibatkan pembinaan jalan raya, pengambilan tanah dan pelantikan jurutera perunding.

Projek ini bermula dari persimpangan masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang – Jelapang) ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan, kira-kira 5.2 kilometer jauhnya.

Ia bagi menggantikan lima persimpangan lampu isyarat sedia ada dengan lorong pusingan U di tiga lokasi dan penurapan jalan, pemasangan kemudahan keselamatan jalan raya dan menaik taraf sistem perparitan. - PERAKTASTIC-