Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Pondok Ngaji Darul Furqan berhasrat mengembalikan semula peranan besar 'Pondok' sebagai antara pusat pengajian utama dalam masyarakat khususnya yang beragama Islam di negara ini.

Pondok Ngaji Darul Furqan diilhamkan oleh Mantan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan Dr Hj Mohd Zaini Shafiai bagi memberi ruang kepada masyarakat memdalami Ilmu berkaitan Al-Quran, Thurath, ekonomi dan kepimpinan.

Pengetua Pondok Ngaji Darul Furqan, Dr Hj Mohd Zaini Shafiai berkata, justeru bagi merealisasikan matlamat itu, pihaknya kini dalam usaha mengembangkan fungsi sebenar dan pengajian Pondok itu di setiap peringkat dan usia dalam masyarakat.

"Sebenarnya kalau kita ikut sejarah sampai awal Merdeka, 'Pondok' adalah institusi pengajian pendidikan agama Islam.

"Cuma sejak akhir-akhir ini 'Pondok' itu disalahtafsirkan, apabila mendengar perkataan pondok sahaja orang terbayang ia untuk orang tua-tua. Kalau dahulu Pondok adalah tempat pendidikan 'Thurath' (kitab warisan agamawan Islam berhubung Akidah Islam) dan sebagainya.

"Jadi, kita mahu membetulkan semula istilah 'Pondok' dan mengetengahkan semula sistem pendidikan Thurath itu yang pernah menjadi satu sistem pengajian yang menyelamatkan akidah dan kebanggaan ketika negara masih dalam tempoh penjajahan bangsa asing," katanya ketika ditemui pada program perasmian penutup program SMART Caliph 2.0 yang disempurnakan Datuk Roshidi Hashim yang juga Pengerusi Pondok Ngaji Darul Furqan berkenaan di Jalan Ampang Jaya 1 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengetua Tahfiz Rendah Pondok Darul Furqan, Noraini Mohamed.

Mohd Zaini berkata, dengan adanya pengajian Pondok yang menekankan ilmu pendidikan Thurath, masyarakat khususnya yang beragama Islam tidak tersasar jauh daripada akidah mereka.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Andalusia walaupun mereka negara maju dan canggih, namun mereka tidak mengamalkan sistem Thurath sehingga apabila dijajah mereka tidak dapat mempertahankan akidah dan hari ini kita tidak mengenali negara itu sebagai negara Islam.

"Berbeza dengan Baghdad, walaupun dijajah dengan kejam oleh Mongul tetapi sistem pengajian Thurath itu menjadi penyelamat dan agama dapat disebarkan sehingga ke India," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur usaha membangunkan Pondok Ngaji berkenaan mendapat galakan dan sokongan daripada pelbagai pihak.

"Kita kini sudah mula mengetengahkan dan memulakan sistem yang membolehkan anak-anak sudah mula menghafaz Al-Quran di usia kecil sebelum 'baligh'.

"Bagi proses menghafaz Al-Quran kita mengambil mereka yang berusia 7 tahun hingga 12 tahun.

"Ini bermakna mengikut silibus sistem yang dilaksanakan di sini iaitu pada usia 7 tahun mesti sudah menghafal 3 juzuk, 8 tahun (6 juzuk), 9 tahun 12 juzuk dan seterusnya sehingga usia 11 tahun, jadi pada usia 12 tahun adalah waktu mereka mengulang semula semua hafazan," katanya.

Jelas beliau, pusat pengajian itu terbahagi kepada empat peringkat iaitu Talaqqi Al-Quran+KAFA (9-12 Tahun), Tahfiz+KAFA (9-12 Tahun), Pengajian Asas Al-Quran (8-15 Tahun) dan Tahfiz Intensif (8-15 Tahun)

"Pengajian bermula pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 2.30 petang hingga 5 petang, manakala Tahfiz Intensif pula pada Sabtu sahaja bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

"Di Pondok Ngaji ketika ini kita mempunyai 30 pelajar dan keseluruhan seramai 23 kakitangan yang juga memainkan peranan sebagai tenaga pengajar," katanya.

Mohd Zaini berkata, pelajar seterusnya akan mengambil peperiksaan untuk Sijil Tahfiz Malaysia di Pondok Darul Quran di Tambun dekat sini.

"Jadi, bagi pengajian di Pondok Darul Furqan pelajar 13 tahun sehingga 17 tahun mereka akan tamat dengan SPM dan mereka boleh menyambung di mana-mana universiti awam," katanya.

Berkenaan hala tuju pelajar, katanya pihaknya juga sudah membuat perancangan awal bagi membolehkan pelajar dapat terus menyambung pengajian dalam Diploma, Ijazah, Master dan akhirnya PHD di Pondok Darul Furqan

"Buat pengetahuan, selain menjalin kerjasama dengan Open University, kita juga menjalin kerjasama dengan Universiti Ar-Raniry di Acheh, Indonesia.

"Jadi, pensyarah daripada negara berkenaan akan hadir ke institusi kita di sini bagi memberi pengajian kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, Noraini pula berkata, Pondok Ngaji Darul Furqan yang ditubuhkan berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu mula aktif secara serius sejak empat tahun lalu.

"Pada 2018 dan 2019 kita sudah mula menjalankan pengajian umum yang membabitkan beberapa peringkat iaitu pembelajaran Bahasa Arab, tafsir Al-Quran dan tajwid, akidah dan sirah.

"Kemudiannya baru kita membuka tahfiz bagi anak-anak dan bagi dewasa kita mempunyai sesi bimbingan secara individu," katanya.

Katanya, operasi Pondok Ngaji terpaksa dihentikan sementara waktu pada musim pandemik Covid-19 dan dibuka semula pada tahun ini dengan pengambilan pelajar baru pada 20 Mac ini.

"Pada masa yang sama, kita turut menjayakan beberapa program di Pondok Ngaji di sini, seperti baru-baru ini kita mengadakan program Israk Mikraj dan juga SMART Solat pada minggu lalu," katanya. -PERAKTASTIC-