Kecekalan dan kesabaran adik Hanis Sofea Norazman, 18, menjual biskut untuk menyara ibunya mendapat perhatian beberapa pihak.

Pasaraya Econsave, antara pihak yang tampil menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian bernilai RM300.00.

Pengurus Wilayah 3 Utara, Econsave (Cash & Carry Sdn Bhd) Shah Effendy Rosman berkata, dia bersimpati dan terkesan dengan nasib Hanis Sofea yang berusaha keras menjaga ibunya yang sakit.

“Melalui sumbangan Econsave Prihatin ini, kami berharap dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga ini.

“Kami akan cuba meneruskan bantuan lanjut jika perlu kepada keluarga ini,” katanya kepada Peraktastic ketika ditemui di rumah Hanis Sofea di Pangsa Alur Tasek Timur 1, Taman Mewah Bercham semalam.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Ipoh, Wiza Rozahrin Mohamed Radzi yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah, Daerah Kinta Utara, Mohamad Hazawawi Yusof turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Hanis Sofea.

“Hanis Sofea seorang pelajar yang berdikari dan berdedikasi dalam pelajaran walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.

“Kecekalan dan kesabaran Hanis Sofea sebagai remaja harus menjadi contoh kepada remaja lain.

“Saya mewakili Pegawai Pendidikan Daerah, Daerah Kinta Utara berharap sumbangan ini dapat meringankan perbelanjaan harian bersama ibunya,” katanya.

Hanis Sofea merupakan anak tunggal kepada ibunya, Zunita Ghazali, 47, yang menghidap strok ringan (minor stroke) sejak tujuh bulan lalu.

Beliau merupakan bekas pelajar SMK Raja Perempuan Ipoh menjalankan perniagaan membuat biskut bagi menampung perbelanjaan harian dan kos perubatan ibunya. -peraktastic-