IPOH - Seramai 13 kanak-kanak dari Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin, Taman Cempaka, Ipoh diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di Hotel Travelodge di sini semalam.

Turut berbuka puasa bersama ialah para petugas rumah kebajikan tersebut serta dua warna emas.

Majlis iftar ini dibiayai oleh usahawan kosmetik, Dato' Sri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV). Pihak Hotel Travelodge turut berkerjasama memberi potongan harga bufet untuk menjayakan majlis ini.

Ini merupakan majlis kali kedua diadakannya bertujuan membawa rasa kegembiraan dan keseronokan kepada anak-anak yatim ini pada bulan Ramadan.

Pada majlis ini, anak-anak yatim ini kelihatan teruja apabila dijamu dengan banyak makanan yang enak-enak.

Antaranya ialah nasi ayam, nasi tomato, ayam masak merah, kambing bakar, pelbagai jenis kuih-muih, manisan dan tidak ketinggalan aiskrim.

Penyelia rumah kebajikan ini, Norizan bin Razali mengucapkan terima kasih atas penganjuran majlis iftar tersebut.

Katanya, kesemua anak-anak itu sememangnya merasa gembira apabila diberitahu akan berbuka puasa di sebuah hotel.

"Semasa Ramadan ini memang anak-anak rumah ini adakalanya dijemput pihak-pihak yang bermurah hati untuk berbuka puasa.

"Program seperti ini memang kami hargai kerana pada anak-anak tersebut ia cukup menggembirakan dan mereka akan merasa seronok," ujarnya.

Selesai berbuka, majlis diakhiri dengan penyampaian duit raya oleh penganjur sebagai berkongsi rezeki. -Peraktastic-