IPOH - Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai pada Program Agihan Bubur Lambuk di pekarangan pasaraya besar Mydin Meru di sini semalam.

Program ini dijayakan bersama antara syarikat pemaju hartanah tempatan, Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd. (Mimbar Nusantara) dengan kerjasama Mydin Malaysia.

Ia merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena menyambut Nuzul Quran pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Pengarah Urusan Mimbar Nusantara, Nazrin Cheong Abdullah berkata, pihaknya mengucapkan terima atas kerjasama yang diberikan pasaraya Mydin Meru.

"Keseluruhannya hampir 50 orang bagi terlibat iaitu 15 petugas memasak dan membungkus manakala selebihnya mengagihkan bubur lambuk ini.

"Agihan bubur lambuk ini juga sebagai satu sedekah khususnya di bulan Ramadan, mudah-mudahan rezeki dan kesihatan kita semua sentiasa dirahmati," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Mydin Meru Raya, Saravanan Harmizaram memberitahu, program itu sangat baik terutamanya dalam mendekati komuniti.

"Saya nampak kerjasama antara petugas dua syarikat yang begitu erat demi mengagihkan 2,000 bubur lambuk ini.

"Sebelum ini, syarikat kumpulan Mimbar Nusantara dan Mydin Meru telah berjaya mengadakan kerjasama beberapa program CSR termasuk bantuan anak-anak yatim, anak-anak tahfiz dan keluarga-keluarga asnaf," ujarnya.