IPOH- Sebanyak RM10,000 diagihkan kepada 30 orang ibu tunggal dalam membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan.

Pengerusi Heart & Craft, YM Raja Putra Shah berkata sumbangan itu merupakan hasil jualan lukisan para peserta Bengkel Ilham Mataku 'Expression from the Heart’.

“Dari jumlah keseluruhan itu, setiap mereka menerima RM333 seorang. Saya percaya walaupun jumlah yang kecil tetapi mampu meringankan perbelanjaan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup di bulan Ramadan ini.

“Pihak pengurusan akan meneruskan penjualan baki lukisan di Kuala lumpur selepas Hari raya Aidilfitri bagi memenuhi sasaran RM15,000.

“Kami merancang akan mengadakan jualan itu dalam majlis minum petang dan pertujukan fesyen yang akan dihadiri oleh golongan koprat yang berpotensi untuk membeli lukisan tersebut.

“Raja Puan Muda Perak, DYAM Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menghadiri ke majlis itu sebagai tetamu kehormat Diraja,” katanya sewaktu ditemubual baru-baru.

Menurutnya lagi, DYAM Tunku Soraya mencadangkan majlis minum petang diadakan selepas hari raya dan tarikhnya akan ditetapkan oleh DYAM Tunku Soraya.

“Program yang akan dilaksanakan nanti, mampu membantu ibu tunggal dalam prespektif berbeza dan boleh menjana ekonomi sampingan kepada mereka.

"DYAM Tunku Soraya menzahirkan keprihatinannya dan sentiasa menyokong terhadap pengajuran program seumpana ini dalam membantu mempertingkatkan ekonomi golongan ibu tunggal.,” ujarnya.

Program Bengkel Ilham Mataku ‘Expression from the Heart’ merupakan cetusan cetusan idea YM Raja Putra Shah yang telah berlangsung pada 11 Februari 2023 di Casuarina Hotel, Kuala Kangsar.

Program julung kali itu dijalankan sebagai usaha mewujudkan satu platform atas dan luar talian bagi golongan ibu tunggal mengeksplorasi, mencari, membangunkan dan mempamerkan bakat seni sambil berpeluang menjana pendapatan menerusi kemahiran seni melukis dan kraftangan yang dipelajari atas tajaan strategik.

Bengkel yang disertai seramai 30 orang ibu tunggal itu, diterajui oleh Ketua Mentor, Kurator dan Artis Antarabangsa Art Case Gallery, Raja Azhar Idris yang berlangsung selama sehari. - PERAKTASTIC-