IPOH- Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) tahun ini tampil sekali lagi menganjurkan Program Edaran Bubur Lambuk bagi sesi 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan berkata program ini sebahagian daripada usaha berterusan PCSH untuk menyumbang kepada masyarakat disamping menyemarakkan semangat bulan Ramadan,

“Aktiviti seperti ini, mampu memupuk persefahaman lebih mendalam dan mengeratkan hubungan kerja dalam kalangan kakitangan di samping menyemai sikap prihatin terhadap masyarakat.

“Sebanyak 1,200 pek bubur lambuk diagihkan kepada para pelawat secara pandu lalu, pemandu-pemandu Grab, kakitangan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perak, Ibu Pejabat Daerah IPD Ipoh, balai-balai polis terdekat, wakil-wakil insuran, wakil-wakil organisasi korporat, dan semua kakitangan PCSH sendiri.

“Disamping itu, kami juga telah mengedarkan 1kg pek gula percuma kepada 100 orang awam pandu lalu pertama yang hadir. Kemeriahan dan kegembiraan jelas terlihat kepada para pelawat yang menerima sumbangan ini. Ia sangat mengembirakan kami” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pakar Perubatan Dalaman dan Jawatankuasa Penasihat Perubatan PCSH, Dr. Muhd Mikhail Joseph berkata adalah menjadi amalan umat Islam untuk bersedekah kepada masyarakat pada bulan Ramadan.

“Bubur lambuk merupakan menu istimewa di bulan Ramadan. Ia makanan berkhasiat tinggi untuk mengembalikan semula tenaga semula setelah penat berpuasa seharian.

“Inilah aktiviti tahunan kami yang bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan diantara kakitangan PCSH malah kepada semua pelawat yang berbilang bangsa,” ujarnya. - PERAKTASTIC-