Hidup segan mati tak mahu!. Begitulah perumpamaan tiga buah ‘Rumah Kutai’  tradisional Melayu Perak yang kini semakin terbiar dan mereput.

Rumah yang pernah menjadi tarikan pelancongan di negeri Perak ini, terletak berdekatan dengan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya.

Keterujaan Nazifah Mustaffha, 42, dari Putrajaya berakhir dengan kekecewaan apabila melihat sendiri keadaan persekitaran dan struktur rumah yang tidak terjaga serta semakin uzur.

“Saya sangat terkejut melihat keadaan rumah tradisional Melayu ini yang terbiar kosong tiada penghuni dan salah sebuahnya semakin teruk dan membahayakan pengunjung.

“Tidak seperti saya lihat menerusi internet  di mana dahulunya rumah ini sangat cantik dan dijadikan premis perniagaan terkenal dengan sajian masakan tradisional Melayu.

“Saya memang peminat rumah-rumah tradisional seperti ini, namun keadaan rumah ini tidak seperti di Melaka dan Negeri Sembilan yang sememangnya cantik kerana diselenggarakan dengan baik.

“Saya bimbang apakah akan terjadi seterusnya pada tahun-tahun akan datang, sekiranya rumah ini tidak dibaik pulih pasti akan mereput dan menyembah bumi,” katanya yang juga seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor dan juga menetap di Putrajaya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri ataupun pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk serta melibat kos yang lebih tinggi.

“Ini adalah aset pelancongan di negeri Perak yang sememangnya menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Inilah salah satu  warisan Melayu lama yang menjadi imej kepada masyarakat Melayu Perak yang sememangnya terkenal dengan budaya dan kesenian.

“Satu kerugian dan pembaziran sekiranya rumah ini pupus begitu sahaja dan terhapuslah satu ikon pelancongan yang menjadi kebanggaan orang Perak,” katanya.

Salah seorang pengunjung dari Meru, Normah Alang Marfuat, 62, berkata dia kesal dengan situasi rumah kutai yang dahulunya ceria kini sudah semakin terbiar dan tidak diselenggara.

"Sayang sekali, dahulu tempat ini menarik dan ada restoran Labu Sayong Signature@Meru berkonsepkan masakan tradisional Melayu dan fusion.  

“Bila tiba bulan Ramadan kita boleh bawa keluarga datang berbuka puasa dalam suasana santai sambil bergambar dari perbagai sudut yang menarik.

''Malah, saya dan kawan-kawan juga kerap datang ke sini berkumpul mengadakan berberapa majlis keraian di rumah kutai ini.

"Tetapi sejak beberapa tahun, tempat ini tidak seceria dahulu. Pengunjung hanya datang untuk bergambar dan selepas itu terus balik," katanya ditemui di lokasi berkenaan.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab mungkin boleh menjayakan beberapa program di kawasan ini untuk menghidupkan semula kawasan ikonik itu.

"Sayang tempat ini terbiar sahaja, saya berharap tempat ini boleh menjadi tarikan semula kepada pelancong untuk datang ke Perak, “ katanya. 

 Tahun Melawat Perak 2024, hanya tingga lapan bulan sahaja lagi. Di manakah persiapan kita sebagai tuan rumah untuk menerima kunjungan pelancong.

 Jangan hanya kegairahan promosi sahaja, namun hakikat sebenarnya produk pelancongan yang ada hanya indah khabar rupa. -PERAKTASTIC-