IPOH: Warga Perak khususnya penduduk di sekitar bandaraya Ipoh berpeluang memiliki rumah teres setingkat dengan harga bermula RM281,255.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MK Land Holdings Bhd., Dato’ Faris Yahaya berkata projek rumah teres setingkat hak milik kekal itu selain menawarkan cici-ciri menarik, ia juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan di kawasan Klebang Putra sejak tahun 2003 lagi.

“Kawasan Klebang Putra kini sedang menjalani projek pembangunan infrastruktur utama yang akan menghubungkannya ke Meru Perdana 2 melalui jalan pintas baharu yang dijangka siap pada Jun atau Julai tahun ini.

“Projek jalan pintas sememangnya menjadi akses mudah ke bandar-bandar utama seperti Ipoh dan Kuala Kangsar,. Ia akan menjadi faktor atau titik jualan penting kepada bakal pembeli.

“Kemudahan lain seperti rumah kelab bersama dewan serbaguna dan kolam renang, sekolah, masjid, kawasan rekreasi, pusat komersial seperti bank, stesen minyak, dan farmasi turut memberi manfaat kepada penduduk.

“Penawaran ciri-ciri menarik itu, projek Carnelian2 akan menarik minat para pembeli sepertimana projek -projek pembangunan perumahan kami sebelum ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jualan Rumah Teres Setingkat, Carnelian 2 dan Majlis Sambutan Hari Raya di Taman Meru Eprdana 2, di sini hari ini.

Projek Carnelian 2, melibatkan 90 rumah teres satu tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan jumlah keluasan binaan 1,363 kaki persegi dan dijangka siap pada April 2025.

Menurut Faris Yahaya, MK Land sebelum ini telah menyiapkan dua fasa pembangunan Taman Klebang Putra, yang terdiri daripada 1,273 unit kediaman dan 292 unit komersial.

“Kumpulan MK Land turut melabur untuk membangunkan kawasan sekitar tersebut selain objektif utama untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kegiatan ekonomi tempatan melalui pelbagai inisiatif pembangunan sosial.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Pada majlis yang sama, Saarani Mohamad, turut menyampaikan duit raya kepada 24 orang anak yatim dan pelajar Tahfiz dari Maahad Tahfiz Qiraati Addin.

Orang ramai boleh menghubungi talian 05-525 3077 untuk maklumat lanjut berhubung rumah teres setingkat Carnelian 2. - PERAKTASTIC-