IPOH: Isu tiga buah rumah tradisional Melayu Perak (Rumah Kutai) bersebelahan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya yang terbiar dan semakin uzur masih menjadi persoalan.

Dua mingggu lalu, Ipohecho telah melaporkan keadaaan tiga buah rumah tradisional tersebut semakin terbiar dan salah satu daripadanya telah mengalami kerosakan yang agak teruk.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Raiq Abdul Razak menjelaskan pihak PKNP akan mengkaji serta melihat kembali rumah tradisional Melayu itu dari perbagai aspek yang boleh dimanfaatkan kepada komuniti setempat.

“Rumah tradisional itu dibangunkan di atas tanah milik (Perak Corporation Berhad) PCB Development dan setelah pengambilalihan sukarela (voluntary acquisition) pihak PKNP akan mengenalpasti peluang-peluang perniagaan kepada usahawan tempatan yang boleh diwujudkan di situ.

“Pada mulanya rumah tradisional ini hendak dijadikan restoran, namun terdapat permintaan daripada beberapa pihak untuk melakukan beberapa aktiviti di sini.

“Mengenai kerosakan salah sebuah rumah itu, PKNP akan membaik pulih dan tidak akan sekali-kali merobohkannya,” katanya sewaktu sidang media sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang Pemprosesan Mineral Secara Build to Suit and Lease (BTSL) dengan Usahasama Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd (Jinjing) di Kawasan Perindustrian Kanthan di sini hari ini.

Sebelum ini, salah sebuah rumah tradisional Melayu Perak itu pernah beroperasi sebagai sebuah restoran Labu Sayong Signature@Meru milik PKNP yang dikendalikan anak syarikatnya, PCB Leisure Sdn. Bhd. (PCB Leisure). - Peraktastic-