Isu pemain industri pelancongan terpinggir, mohon hadir berbincang-Loh Sze Yee
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 465
IPOH: Isu pengusaha industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan negeri ini merasa terpinggir dan diabaikan menjadi perbualan hangat kebelakangan ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak, Zamari Muhyi mewakili 12 NGO penggiat industri pelancongan negeri Perak menyatakan mereka tidak mendapat kerjasama antara kerajaan negeri dan tidak mesra serta tidak mahu mendengar masalah yang dihadapi.
Malah turut menyedihkan mereka apabila insentif persatuan pelancongan sebanyak RM10,000 telah dimansuhkan.
Menjawab persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata dakwaan pihak tertentu berhubung isu kurang kerjasama yang diberikan kepada pengusaha industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan adalah satu percanggahan pendapat.
Bagaimanapun jelasnya, pihaknya terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan pandangan di samping mengalu-alukan kerjasama daripada pemain industri pelancongan.
"Kita sudah jumpa dengan ramai pemain industri pelancongan serta mereka yang terbabit untuk menjayakan Visit Perak Year 2024 (TMP 2024), seawal bulan Februari lalu.
"Tidak terkecuali mereka (pemain industri) yang hadir sendiri berjumpa di pejabat. Kita juga sudah pergi merata tempat dari utara sampailah ke selatan Perak.
"Namun begitu, kalau ada yang rasa mereka tertinggal, pihak kami termasuk Tourism Perak mengalu-alukan mereka untuk jumpa," katanya.
Sementara itu, Loh memberitahu, pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu akan diberi lebih penekanan bagi memastikan ia menjadi penyumbang kepada kejayaan TMP 2024.
Ia termasuk Tasik Cermin, Silverlake Village Outlet, Galeri dan Rumah Dato’ Lat di Batu Gajah, Qin Xi Ling Cultural Village, Maze Garden, Escape @ Ipoh serta Geopark Lenggong. -Peraktastic-