Tokong Sam Poh Tong terletak di Gunung Rapat di pinggir selatan Ipoh. Sam Poh Tong ialah kuil Buddha yang dibina di dalam gua batu kapur. Iamerupakan kuil gua tertua dan utama di Ipoh, Perak.

Sebenarnya ramai yang terlepas pandang mengenai keunikan rumah ibadat yang menyimpan pelbagai keunikan dan budaya mesyarakat beragama Buddha.

Kuil ini dibina di dalam gua batu kapur di pergunungan yang terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar dan mengikuti cabang Buddha Buddhisme Mahayana.

Lokasi Tokong Sam Poh Tong  sedikit terpencil dan terkeliru kerana setiap pengunjung pasti akan terdahulu menemui Tokong Ling Sen Tong di tempat yang sama.

Namun itu tidak menjadi masalah, anda boleh bertanya kepada sesiapa sahaja di sini kerana sememangnya orang Ipoh semuanya peramah dan sedia membantu.

Menurut laman web Lonely Planet, Sam Poh Tong disenaraikan sebagai perkara ke-18 terbaik untuk dikunjungi di Ipoh.

Sejarah Sam Poh Tong

Terdapat sumber menyatakan gua ini ditemui oleh seorang sami Buddha dari China danmenetap di sini sehingga kematiannya 20 tahun kemudian.

Pembinaan kuil dikatakan bermula dari tahun 1912. Sam Poh Tong diterjemahkan sebagai Gua Tiga Permata tetapi nampaknya tidak ada penjelasan tentang apa atau di mana permata ini. Mungkin ia merujuk kepada teknik meditasi Buddha dan bukannya permata sebenar.

Keunikan Langkap

Melewati sekitar perkarangan dihadapan tokong ini, pastinya mata akan tertumpu pada sebuah   taman landskap yang dikelilingi kolam ikan berserta pohon-pohon bonsai berusia puluhan tahun.

Kolam ini membentuk pulau-pulau kecil yang dihiasi dengan formasi batuan buatan yang mungkin berbentuk menyerupai pergunungan Huang Shan di China.

Tanglung batu Jepun dan pagoda menambah keindahan taman. Sebuah papan maklumat dihadapan pintu masuk menyatakan  taman ini telah dianugerahkan sebagai Taman Landskap Terbaik di Malaysia pada tahun 1993.

Kolam Kura-Kura

Untuk ke kolam kura-kura ini, pengunjung seharusnya melalui laluan di dalam gua yang anda akan saksikan beberapa patung Buddha dan dewa.

Sebaik anda melangkah keluar dari lorong gua, tersergam sebuah bangunan pagoda berhias dengan jubin bumbung merah di sebelah kanan. Tetapi lalulan ke bangunan itu tidak dibenarkan kerana berpagar dan berkunci.

Di sebelah kanan terdapat sebuah tempat berpagar yang menempatkan ratusan kura-kura.

Pengunjung dibenarkan memberi makanan kepada haiwan ini dengan semangkuk buah tomato yang dijual di pintu masuk gua dengan harga RM4.00.

Salah seorang pelancong dari Belgium, Rodrigo, 40, berkongsi kekaguman apabila pertama kali melawat ke bandaraya Ipoh.

“Saya mengetahui bandaraya Ipoh sebagai sebuah tempat yang dikelilingi dengan bukit batu kapur yang berusia jutaan tahun yang tidak terdapat di negara Eropah.

“Keunikan gua batu kapur di sini menarik perhatian saya dan keluarga. Ianya sangat unit dengan gabungan elemen budaya dan keagamaan.

 “Anak-anak saya khasnya dapat mempelajari sesuatu yang baharu tentang alam semulajadi. Keistimewaan lanskap di sini sangat menerujakan pandangan dan ianya  berbeza dengan negara kami. Pastinya kami akan datang lagi ke Ipoh pada masa hadapan dalam tempoh yang lebih lama,” katanya kepada Ipoh Echo.

Seorang lagi pelancongan, Gayatri, 32, dari Mumbai berkata selain keindahan alam semulajadi, suasana ketenangan bandaraya Ipoh menarik minatnya untuk bercuti bersama keluarga.

“Ipoh sebuah bandaraya tenang kerana dianugerahkan dengan alam semulajadi yang tidak dipengaruhi oleh pembangunan. Ianya sangat memukau pandangan kami.

“Langkap yang terdapat di sini sangat berbeza dan memukau pandangan. Ia benar-benar menarik dan tidak terdapat di negara saya. Begitu juga keunikan reka bentuk tokong di dalam gua kapur sangat luar biasa dan berwarna-warni.

“Ipoh merupakan bandaraya yang bersih disamping keramahan masyarakatnya yang berbilang kaum. Apabila saya pulang ke negara saya, pasti saya akan merindui keenakan Ipoh White Coffee dan keghairahan memilih cenderahati di Concubine Lane,” katanya. - PERAKTASTIC-