Cameron Highland: Usaha Pantai Hospital Ipoh (PHI) melestarikan alam semulajadi menerusi Program Penanaman Pokok di Hutan Simpan Bukit Kinta baru-baru ini mampu membantu kesejahteraan ekosistem global dari terancam.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong berkata pengajuran program itu bertujuan menghadkan pertumbuhan karbon menjelang 2025 dan mencapai sifar karbon menjelang 2050.

“Program ini adalah kerjasama antara PHI dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam menyokong usaha pihak kerajaan memelihara alam sekitar.

“Seramai 60 orang terdiri daripada pihak pengurusan, jururawat dan doctor telah menyempurnakan penanaman sejumlah 203 anak pokok.

“Program ini juga merupakan inisiatif bersempena Hari Jururawat Antarabangsa sebagai tanda penghargaan kepada pengasas kejururawatan moden iaitu Florence Nightingale yang dilahirkan pada tahun 1820 iaitu 203 tahun yang lalu.

“Selain itu, kami menggalakkan pengurangan penggunaan plastik untuk sekali guna kepada tahap 90% dalam bidang bukan klinikal di Malaysia dan Singapura pada tahun 2023.,” katanya dalam satu kenyataan media.

Program itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Teh Kok Lim dan Timbalan  Pengarah Pembangunan Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Siti Dessyma Isnani.

Pada 2019, Pantai Hospital Ipoh telah menerima anugerah antarabangsa IHH Quality Summit. Hasil daripada usaha itu, tiada penggunaan plastik sekali  guna di kafeteria dan ia mengurangkan lebih daripada 1 tan plastik sehingga hari ini.

Menurut Chong Siet Fong lagi, program yang bertemakan Care For Patient, People, Public, Planet merupakan sebahagian daripada Projek Kelestarian PHI.

“Pantai Hospital Ipoh berazam untuk terlibat secara aktif dalam usaha memelihara alam sekitar dan berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut serta dalam usaha baik ini.

“Pada tahun 2021, PHI telah memenangi anugerah PAM daripada Persatuan Arkitek Malaysia atas usaha mengitar semula air hujan untuk siraman pokok,” ujarnya.