Media penting bantu Polis Perak cegah jenayah
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 586
IPOH - Kemunculan beberapa anggota polis yang lengkap bersenjata mengejutkan pengunjung di pusat beli belah AEON Kinta City di sini malam tadi seolah-olah berlaku kejadian serius.
Mereka yang berpakaian serba hitam ini juga sentiasa dalam keadaan siap sedia sambil memerhatikan kawasan sekeliling.
Bagaimana pun, kehadiran polis yang berpakaian seperti pasukan SWAT (Special Weapons and Tactics) ini hanyalah gimik pada program High Profile Policing Polis Bersama Pengamal Media di TGV AEON Kinta City.
Menariknya, program yang dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri kemudian diakhiri dengan sesi menonton filem Polis Evo 3.
Filem kepolisan ini menampilkan pelakon handalan antaranya Zizan Razak dan Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan ramai lagi.
Hadir sama ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang juga ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen dan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.
Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak, Sayed Mohd Hesham Syed Idris dan Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali hadir dalam program itu.
Sementara itu, Mohd. Yusri dalam ucapan berkata, pihaknya sangat menghargai peranan pihak media dalam melaporkan tentang hal-hal kepolisan.
Malah, beliau menyifatkan peranan media sebagai tulang belakang polis kerana menyampaikan maklumat serta melaporkan kejayaan yang dicapai Polis Perak kepada masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang selama ini menyebarkan bahan-bahan berita sekali gus mendendangkan tentang penugasan anggota saya di bawah sana.
“Kejayaan-kejayaan serta tak lupa juga ada benda-benda yang tak enak didengar pun dilaporkan juga.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana media lah tulang belakang kepada Polis negeri Perak,” katanya. -PERAKTASTIC-